Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Wan Saiful, pejalan kaki 300km 'kebetulan' berjumpa di Istana Negara

Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Wan Saiful Wan Jan dan wakil tiga NGO pagi ini "secara kebetulan" berjumpa di Istana Negara dengan seorang aktivis, yang berjalan kaki kira-kira 300km dari Johor menggesa kerajaan membenarkan satu lagi pusingan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menurut Wan Saiful, mereka berada di sana untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, memohon bantuan Agong untuk menasihati Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai perkara itu.

"NGO ini berjumpa dengan saya sebulan lebih yang lalu memohon supaya saya bantu menyusun satu proses untuk menyembah maklum kepada tuanku YDPA, satu memorandum daripada rakyat yang merayu dua perkara.

"(Pertama) supaya dibenarkan pengeluaran KWSP secara bersasar. Bukan semberono tapi bersasar.

"(Kedua) Menyembah maklum pada YDPA bahawa rakyat secara umumnya tak gembira dengan keputusan kerajaan mengarahkan rakyat buat pinjaman, cagarkan pula KWSP mereka," katanya pada sidang media di luar istana.

Tiga NGO terbabit ialah Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), dan Persekutuan Hak Asasi Manusia Global.

Wan Saiful, yang merupakan ahli parlimen Tasek Gelugor, berkata mereka turut disertai Norazlan Ismail, pemandu teksi yang berjalan kaki selama lima hari dari Skudai ke Kuala Lumpur untuk mengetengahkan nasib pencarum KWSP.

Wan Saiful dan Norazlan mendakwa pertemuan mereka di istana hari ini hanyalah "kebetulan".

Menurut pemimpin PN itu, dia telah memohon janji temu dengan Istana Negara sejak pertengahan Mac lalu dan selepas mendapat tarikh, Norazlan secara kebetulan mula berjalan ke istana pada 28 Mac lalu.

Wan Saiful berkata dia juga akan membawa Norazlan ke Parlimen hari ini untuk bertemu dengan ahli parlimen di sana.

"Ini semua benda-benda tak dirancang. Alhamdulillah dari segi susunan tu nampak cantik, Allah bantu kita. Dengan jadualnya hari ni, walau tak dirancang tapi dia jadi tersusun.

"Dari datang ke Istana Negara, kemudian pergi ke parlimen. Kebetulan Machang (wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal) ada bawa usul untuk bahaskan walaupun ditolak," katanya.

Wan Saiful berkata, dia bagaimanapun telah menghubungi Norazlan untuk mengajak bersama-sama kumpulan itu bagi mengelak perjalanannya bertukar menjadi perhimpunan tanpa permit.

Norazlan Ismail

Sebelum pertemuan mereka, petugas media menerima notis bahawa Wan Saiful akan memasuki Istana Negara melalui Pintu 3 dan mungkin bertemu dengan pemandu teksi itu.

"Jika ada rezeki mungkin Noorazlan akan bersama kerana namanya sempat diselitkan sekali," kata notis itu.

Sementara itu, Norazlan memberitahu sidang akhbar bahawa dia melakukan jalan kaki sejauh 312km itu dengan harapan dapat mendapat perhatian pemimpin kerajaan berhubung isu itu.

Dia turut mengkritik pemimpin kerajaan dan perdana menteri dengan mengatakan bahawa mereka setakat ini gagal melihat masalah yang dihadapi rakyat.

"Jadi, saya terpaksa melakukan ini untuk menarik perhatian (pemimpin) kepada golongan bawahan seperti saya, yang terdesak untuk membayar hutang kami," katanya.

"Pada mulanya saya hanya merancang untuk sampai ke pintu pagar Istana Negara. Tapi alhamdulillah, secara kebetulan saya bertemu dengan mereka semua ketika sampai di sini," katanya.