Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Dewan Rakyat lulus mansuh hukuman mati mandatori

PARLIMEN | Bacaan ketiga Rang Undang-undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 diluluskan di Dewan Rakyat menerusi undi suara, hari ini.

RUU ini melibatkan pindaan undang-undang yang memansuhkan hukuman mati mandatori kepada kesalahan-kesalahan berkaitan melibatkan beberapa akta, termasuk Akta Dadah Berbahaya dan Kanun Keseksaan.

Tempoh maksimum hukuman penjara untuk kesalahan-kesalahan ini pula sebanyak 10 tahun.

Di bawah pindaan ini nanti, hukuman penjara minimun bagi kesalahan yang sebelum ini membawa hukuman mati adalah 30 tahun manakala tempoh maksimum adalah 40 tahun.

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh membentangkan rang undang-undang itu untuk bacaan kedua dan ketiga selepas ia dibahas oleh seramai 10 ahli Parlimen.

Dalam pembentangannya, Ramkarpal berkata dengan pemberian budi bicara kepada mahkamah dalam menjatuhkan hukuman mati, mahkamah boleh mengambil kira prinsip undang-undang yang terpakai dalam memutuskan sama ada hukuman mati perlu dikenakan.

“Antara lain terdapat anggapan yang memihak kepada hak seseorang untuk hidup yang tidak terbatas (an unqualified right to life); pertimbangan prinsip seterusnya adalah, di mana hukuman mati boleh dikenakan di dalam kes-kes yang sesuai dan mahkamah mempunyai peranan untuk menentukan kes-kes yang sesuai tersebut berdasarkan, antara lain, duluan (precedent) di dalam kes-kes serupa di negara-negara lain seperti India yang juga telahpun menghapuskan hukuman mati mandatori.

“Prinsip-prinsip yang harus dipertimbangkan termasuk faktor-faktor mitigasi dan pemberatan (mitigating and aggravating factors),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya pada 17 Mac, mesyuarat jemaah menteri telah bersetuju dengan cadangan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori iaitu hukuman mati atas budi bicara mahkamah atau hukuman pemenjaraan bagi suatu tempoh yang tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan juga hukuman sebatan tidak kurang 12 kali.

“Perundangan sistem keadilan jenayah di Malaysia telah diwujudkan sejak sekian lama dan terdapat banyak peruntukan sedia ada yang dilihat tidak lagi relevan dengan perkembangan jenayah semasa.

“Dalam hal ini, keputusan kerajaan berkaitan pemansuhan hukuman mati mandatori dilihat sebagai langkah yang tepat dalam usaha kerajaan untuk mewujudkan sistem perundangan yang dinamik, progresif dan relevan dengan keperluan semasa,” katanya.

Terdahulu hari ini di Parlimen, sekumpulan keluarga mangsa pembunuhan menyuarakan tentangan mereka terhadap usaha untuk memansuhkan hukuman mati mandatori itu.