Polis buru 8 lelaki bertopeng samun 3kg barang kemas
Polis sedang memburu lapan lelaki bertopeng disyaki menyamun dan melarikan barang kemas seberat kira-kira tiga kilogram dari sebuah rumah di Taman Bukit Kinrara, Puchong, di Kuala Lumpur pada awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Serdang ACP AA Anbalagan berkata dalam kejadian pada 4.10 pagi itu, semasa berada di luar perkarangan rumahnya, mangsa didatangi lapan lelaki dipercayai warga tempatan, bersenjatakan parang yang memakai baju lengan panjang dan bersarung tangan.
"Seorang daripada suspek telah menumbuk muka mangsa beberapa kali dan memaksanya memberitahu di mana tempat wang disimpan sebelum mangsa dibawa masuk ke dalam rumah.
“Selain itu, suspek turut memaksa ibu pengadu yang juga berada di rumah itu untuk menanggalkan barang kemas yang dipakainya sebelum bertindak menyelongkar setiap bilik di kediaman mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anbalagan berkata suspek melarikan dua beg berisi barangan kemas dianggarkan seberat kira-kira tiga kilogram dan wang tunai RM5,000.
Mangsa yang berumur 24 tahun telah membuat laporan berhubung kejadian berkenaan pada 5.53 pagi.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi polis bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana rompak berkumpulan dan bersenjata," katanya.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai