Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Najib boleh cuba mohon semakan semula kedua, kata peguam

Bolehkah Najib  Razak mengemukakan permohonan semakan semula kedua untuk membatalkan sabitan dan hukumannya dalam kes rasuah RM42 juta SRC International?

Menurut beberapa peguam yang dihubungi oleh Malaysiakini, undang-undang membenarkan seseorang untuk berbuat demikian.

Peguam Ramesh NP Chandran berkata walaupun tiada peruntukan untuk semakan kedua keputusan Mahkamah Persekutuan di Malaysia, pihak-pihak boleh memohon untuk semakan kedua dalam "keadaan tertentu".

Katanya, Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 tidak mengehadkan Mahkamah Persekutuan daripada mendengar "mana-mana" permohonan, kerana peruntukan itu mengiktiraf kuasa sedia ada mahkamah tertinggi untuk menyemak keputusan mahkamah tertinggi sebelum ini untuk mencegah ketidakadilan atau penyalahgunaan proses.

Ramesh berkata bahawa pemohon untuk semakan kedua mesti membuktikan terdapat ketidakadilan yang serius, seperti bukti berat sebelah mahkamah atau mahkamah gagal sepenuhnya memahami perkara undang-undang yang dibangkitkan semasa pendengaran semakan pertama.

Peguam Ng See Teong, bagaimanapun, memberi amaran bahawa mana-mana permohonan semakan kedua sedemikian mempunyai peluang tipis untuk menang, sambil mengingatkan bahawa dalam kes SRC International sekarang, seorang hakim Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, tiga hakim Mahkamah Rayuan, dan sembilan hakim mahkamah persekutuan telah pun membuat keputusan bahawa  bekas perdana menteri itu bersalah.

Peguam jenayah itu juga berkata Najib akan berdepan kesukaran untuk mencari kuorum hakim mahkamah persekutuan yang lain untuk mendengar sebarang permohonan semakan kedua kerana jumlah mereka adalah kecil.

“Bagaimanapun, kes mesti dimuktamadkan,” kata Ng.

Sementara itu, peguam Mohd Haniff Khatri Abdulla mempunyai pandangan berbeza. Katanya, tiada perkara seperti semakan ke atas semakan, seperti cadangan semakan kedua terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini dalam keputusan majoriti 4-1 yang menolak permohonan semakan Najib.

“Walaupun dia (Najib) mungkin mahu cuba,tetapi apabila kes SRC International itu  sampai ke mahkamah, ia akan berakhir.

"Satu-satunya cara  yang tinggal untuknya ialah mendapatkan pengampunan daripada Lembaga Pengampunan," kata peguam itu.

Kemungkinan semakan kedua dicetuskan berikutan keputusan mahkamah persekutuan mengenai kes SRC International, dengan timbalan pendakwa raya V Sithambaram berkata Najib mungkin mencuba lagi.

Peguam bela utama, Muhammad Shafee Abdullah pula dilaporkan berkata keputusan bertentangan yang dibuat oleh pengerusi panel hari ini, iaitu Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli, membuka jalan baharu untuk Najib.

Bagaimanapun, keputusan majoriti - oleh ahli panel lain - hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Lam Kiat, Rhodzariah Bujang dan Nordin Hassan serta hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais - akan juga diambilkira dalam menafikan permohonan semakan itu.

Keputusan hari ini selaras dengan keputusan pada 23 Ogos tahun lepas oleh panel mahkamah persekutuan berlainan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mengekalkan keputusan bersalah Najib serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes rasuah itu.

Bekas ahli Parlimen Pekan itu juga mempunyai tiga lagi kes mahkamah jenayah yang belum selesai - iaitu perbicaraan rasuah 1MDB , membabitkan penyelewengan RM2.28 bilion, kes pengubahan wang haram SRC International berasingan melibatkan RM27 juta, dan kes pecah amanah International Petroleum Investment Company (IPIC) bernilai RM6.6 bilion.

Walau bagaimanapun, satu-satu kes yang dimenanginya ialah bekas perdana menteri itu diberi pembebasan penuh dalam kes pinda laporan audit 1MDB. Namun, pihak pendakwaan telah merayu kepada Mahkamah Rayuan untuk membatalkan keputusan tersebut.

[Baca berita penuh]