Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Penyokong sebak Najib gagal dalam rayuan semakan

Lebih 100 penyokong Najib Razak yang berkumpul di pekarangan Istana Kehakiman hari ini kecewa apabila Mahkamah Persekutuan menolak permohonan bekas perdana menteri itu menyemak semula sabitan dan hukuman penjara yang disabitkan padanya.

Mereka 'berkampung' di Putrajaya seawal jam 7.30 pagi bagi menunjukkan solidariti kepada Najib sambil melaungkan slogan "bebas bossku" dan "keadilan untuk bossku" ketika bekas ahli parlimen Pekan berkenaan dibawa kembali ke Penjara Kajang untuk meneruskan hukuman penjara 12 tahun.

Beberapa penyokong khususnya wanita dilihat sebak atau menangis ketika mengetahui keputusan hakim.

Bagi mereka Najib yang merupakan insan banyak berjasa kepada rakyat dan negara sudah "dizalimi" oleh kerajaan kerana mendakwanya di mahkamah.

Terdahulu, empat daripada lima panel hakim Mahkamah Persekutuan menolak permohonan semakan Najib terhadap sabitan dan hukuman terhadapnya.

Empat hakim membuat keputusan menolak permohonan itu, manakala seorang sebaliknya.

Penghakiman hari ini selari dengan keputusan dibuat panel hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lalu yang mengekalkan sabitan bersalah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap Najib.

Sementara itu, seorang penyokong berkata keputusan hari ini menunjukkan kerajaan "zalim" terhadap bekas perdana menteri itu.

Dia hanya mahu dikenali sebagai Hajah Rabihah mendakwa datang dari Sungai Buloh juga bertanya kenapa bekas ketua pegawai eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil, bekas gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz, bekas menteri kewangan Nor Mohamed Yakcop dan warga Malaysia dalam buruan polis Jho Low tidak dibicara.

"Sedangkan Jho Low rakyat Malaysia, tapi kenapa Kuwait pula jatuh hukuman. (Sepatutnya) bawa dia balik ke Malaysia, biar Malaysia yang jatuhkan hukuman...Kenapa Najib yang kena?" katanya.

Dia turut mempersoalkan mengapa Peguam Negara masih tidak mendedahkan kepada umum siasatan terhadap hakim Nazlan Mahkamah Rayuan, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

"Jadi, kami hadir pada hari ini semata-mata mahukan keadilan dan kebenaran kepada Najib.

"Pada kami, kami tetap bangga bahawa Najib ini tetap perdana menteri kami dan tiada lain yang terbaik selain perdana menteri daripada Najib," katanya.

Pasukan peguam Najib juga sebelum ini mendakwa Nazlan mempunyai konflik kepentingan dalam kes 1MDB.

Mohd Nazlan merupakan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mensabitkan Najib atas kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang harap pada pada 2020.