Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KDN: Kesunyian antara faktor ganggu kesihatan mental anggota polis

Kesunyian disebabkan berjauhan dengan keluarga antara faktor yang menyumbang kepada kesihatan mental yang melibatkan anggota polis, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya, daripada hasil kajian pihak polis, faktor lain yang dikenal pasti ialah tekanan, status kesihatan dan persekitaran di tempat kerja.

“Bila kita zoom in (teliti) hasil analisis ini didapati faktor tekanan itu termasuklah berpunca daripada dia kecewa dalam perhubungan, dia ada masalah dalam penyesuaian diri penempatan baru, dia gagal untuk mengawal daya tindak diri, dia kesunyian akibat berjauhan daripada keluarga dan dia ada masalah perkahwinan.

“Semua faktor ini menyumbang kepada tekanan,” katanya sebagai menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH - Sri Gading) di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Aminolhuda dalam soalannya turut bertanya apakah langkah-langkah yang dilakukan oleh pihak bertanggungjawab untuk menangani isu gangguan mental di kalangan anggota polis.

Saifuddin berkata, disebabkan kajian itu mendapati terdapat unsur yang menyumbang masalah kesihatan seperti tekanan dan kemurungan, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM telah mengkaji dari semasa ke semasa modul latihan dan memperhebatkan program sedia ada khususnya untuk menangani isu itu secara teliti.

“Buat masa sekarang mereka punya 109 orang kaunselor di Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan Ibu Pejabat Polis Daerah. Kita ada 711 yang kita panggil sebagai Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (Akrab),” katanya.

Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun)

Soalan itu hadir selepas Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) meminta Saifuddin menyatakan langkah bagi memastikan isu kesihatan mental dapat dibendung dalam kalangan anggota polis terutama yang memegang senjata api bagi memastikan anggota dapat menjalankan tugas dengan mental yang stabil.

Mengakui bahawa terdapat kecenderungan ke arah bunuh diri di kalangan anggota polis yang dikesan sejak 2015, Saifuddin berkata pihaknya akan melihat semua aspek mengenai seseorang anggota yang mahu diberikan kebenaran menggunakan senjata api.

Bagaimanapun, katanya KDN akan melihat kesemua aspek memandangkan seseorang anggota yang diberikan kebenaran menggunakan senjata api tidak boleh sama sekali ada tanda-tanda gangguan atau tekanan.

“Kecenderungan itu dikesan sewal 2015-2016, sebab itu langkah segera pasukan polis, walaupun angkanya rendah, terpencil berbanding dengan jumlah 130,000 anggota polis, tetapi cara pasukan polis dan KDN bertindak, kita menyusun langkah dan tindakan kita menganalisis kesemua data, melalui kajian-kajian misalnya satu kajian 2014-2018 tajuk Kajian Penerokaan Bunuh Diri Dalam Kalangan Warga Polis, ada kajian 2014-2018 ada tujuh kes bunuh diri.

“Kalau masih ingat tahun ini sahaja 2023 baru tiga bulan satu kes berprofil tinggi di Perlis bunuh isteri, di Bayan Lepas tembak diri, semua itu dalam radar catatan polis,” katanya.