'Malaysia perlu siasat penglibatan Kuwait dalam skandal 1MDB'
Seorang ahli perniagaan asing yang disabitkan di mahkamah Kuwait kerana pengubahan wang haram menggesa Malaysia menyiasat dakwaan penglibatan pegawai negara Teluk itu dalam skandal 1MDB.
Ahli perniagaan Syria-Perancis Bachar Kiwan memberitahu Malaysiakini demikian selepas sabitan ke atas Sheikh Sabah Jaber Al-Mubarak Al-Sabah, anak kepada bekas perdana menteri Kuwait, atas tuduhan yang dikaitkan dengan 1MDB.
Mahkamah Kuwait turut mendapati tiga lagi bersalah termasuk ahli perniagaan yang kini dalam buruan Low Taek Jho, lebih dikenali sebagai Jho Low, yang disabitkan kesalahan tanpa kehadiran.
“Bagi saya, ia (hanya) satu lagi kes,” kata Bachar, yang kini berada di Perancis, ketika diminta mengulas mengenai sabitan itu.
“Tetapi bahagian yang paling penting ialah ia adalah kali pertama selepas tujuh tahun anak lelaki daripada keluarga Al-Sabah itu disabitkan kesalahan.
"Itu sangat unik di Kuwait," tambahnya.
Pada hari Selasa, akhbar Kuwait Al-Qabas melaporkan bahawa seorang syeikh, pasangannya, dan dua warga asing dijatuhi hukuman penjara 10 tahun, manakala seorang peguam dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun.
Mereka juga diarah memulangkan AS$1 bilion (RM4.4 bilion) selain membayar denda berjumlah KD145 juta (RM2 bilion).
Menurut Al-Qabas, lima mereka didakwa melakukan pengubahan wang haram mata wang China bersamaan dengan KD343,700,000 (RM4.95 bilion) dengan pengetahuan ia adalah hasil haram yang digelapkan daripada 1MDB.
Akhbar itu hanya mengenal pasti dua warga asing itu sebagai Jho Low dan Bachar tetapi tidak menamakan syeikh Kuwait, pasangannya, atau peguam yang dimaksudkan.
Laman pemberi maklumat Sarawak Report, bagaimanapun, mengenal pasti sheikh itu sebagai Sheikh Sabah Jaber. Pasangannya dikenal pasti sebagai sekutu Jho Low, Hamad Al Wazan dan peguamnya sebagai Saud Abdelmohsan.
'Keterlibatan peringkat tinggi'
Bachar, yang sejak tahun lalu membuat dakwaan pengubahan wang haram terhadap Jho Low dan seorang elit Kuwait, terus menuduh kerajaan Kuwait cuba mengelak sebarang akauntabiliti dalam kes itu.
“Di sinilah Malaysia perlu berhati-hati. Urusan ini tidak boleh berlaku tanpa penyertaan aktif pegawai Kuwait kerana kita bercakap tentang berbilion-bilion, kita bercakap tentang bank pusat.
“Pada 2018, negara anda (Malaysia) menghantar siasatan ke Kuwait. Siasatan ini adalah mengenai beberapa pemindahan yang mencurigakan. Jawapan daripada kerajaan Kuwait ialah ‘kami tidak mempunyai sebarang masalah’... Ia (pemindahan) adalah 100 peratus sah,” dakwa Bachar.
“Sejak itu rakyat Kuwait sangat malu kerana hari ini implikasi pegawai bermakna kes ini sepatutnya dibangkitkan antara negara.
“Ini yang Kuwait cuba elakkan dan ini yang Malaysia belum faham lagi,” tambahnya.
Bachar menyatakan bahawa walaupun penghakiman terbaharu tidak melibatkan dakwaan pegawai kerajaan, jejak wang yang didakwa dari China ke Kuwait - yang didedahkan oleh Wall Street Journal pada 2020 - tidak mungkin berlaku hanya antara entiti swasta.
Oleh itu, dia berkata Malaysia perlu melihat kemungkinan penglibatan pegawai Kuwait dalam transaksi itu, memetik maklumat daripada tiga pemberi maklumat - termasuk dirinya dan dua kolonel Kuwait dari Agensi Keselamatan Negara - yang terlibat dalam menyiasat siasatan Malaysia pada 2018.
“Ahli politik anda harus memulakan kerjasama dengan pemberi maklumat ini untuk memahami keseluruhan skim dan tanggungjawab Kuwait.
“Untuk membangkitkan urusan ini antara negera dan tidak menyimpannya sebagai isu peribadi. Ia bukan jenayah peribadi, ia adalah jenayah yang dilakukan terhadap penduduk Malaysia, jenayah yang dilakukan pegawai Kuwait,” tambah Bachar.
Kedua-dua kolonel itu - Sheikh Faisal Al Salman dan Nasser Al Tayyar - dilaporkan telah ditangkap, didakwa, dan dibebaskan pada November 2021 atas tuduhan membocorkan "rahsia negara" yang dikaitkan dengan 1MDB.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai