Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

K'jaan digesa masukkan gaji minimum dalam MOU pembantu rumah M'sia- Kemboja

Kumpulan hak asasi migran mempersoalkan komitmen kerajaan untuk menamatkan eksploitasi pembantu rumah selepas perjanjian dua hala terbaru yang ditandatangani dengan Kemboja tidak menyebut mengenai gaji minimum.

Pengarah eksekutif Tenaganita Glorene A Das berkata, peruntukan sedemikian harus dimasukkan dalam perjanjian dua hala antara kerajaan.

"Gaji minimum adalah sangat penting kerana ia melindungi kumpulan pekerja rentan seperti pembantu rumah daripada dieksploitasi dan diletakkan dalam situasi terpaksa berhutang.

“Memasukkan gaji minimum dalam perjanjian seperti MOU antara negara sumber dan negara destinasi menunjukkan bahawa kedua-dua negara mengiktiraf sumbangan besar pekerja domestik kepada isi rumah dan masyarakat.

"Ia adalah langkah penting untuk memastikan prinsip gaji yang sama untuk kerja yang sama nilai," kata Glorene kepada Malaysiakini.

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar semalam mengesahkan MOU terbaru untuk tempoh lima tahun itu tidak membuat sebarang rujukan kepada gaji minimum, sama ada ditetapkan oleh Kemboja atau berdasarkan kadar semasa di Malaysia iaitu RM1,500 sebagai gaji minimum.

Sebaliknya, Malaysiakini difahamkan majikan yang ingin mengambil pekerja domestik dari Kemboja mesti membayar gaji bulanan yang ditentukan oleh "kuasa pasaran" di Malaysia dan dipersetujui sebagai sebahagian daripada terma dan syarat kontrak pekerjaan.

Mengulas lanjut, Glorene menyebut mengenai gaji minimum yang dibayar oleh majikan Malaysia kepada pembantu rumah dari Indonesia dan Filipina - sebagai dua negara sumber paling popular - namun syarat sedemikian tidak ditandatangani dengan Kemboja.

Pada masa yang sama, dia berkata kerajaan negara sumber mesti menunjukkan komitmen politik untuk melindungi rakyat mereka terutamanya kumpulan pembantu rumah yang rentan.

"Negara-negara ini tidak boleh hanya berminat mengenai dasar eksport buruh dan kesan kiriman wang.

"Kerajaan mesti melindungi hak dan maruah pekerja domestik," katanya, sambil menambah Tenaganita akan meneruskan usaha untuk menyokong Akta Pembantu Rumah.

[Baca berita penuh]