Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

'Kebimbangan MB Pahang mungkin sebab tak adil pada pembangkang'

Kerajaan Pahang wajar menganjurkan sesi taklimat atau perbincangan dengan Adun pembangkang bagi melihat kemungkinan langkah membentangkan rang undang-undang (RUU) antilompat parti di negeri itu.

Ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata tidak timbul isu kerajaan negeri bimbang untuk membawa usul RUU tersebut.

Kata Tuan Ibrahim, Adun pembangkang dari PN bersedia menyokong RUU berkenaan jika ia memang membawa kebaikan kepada rakyat.

"PN meneliti kenyataan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail dalam isu RUU antilompat parti dan melihat terdapat kebimbangan beliau terhadap sokongan daripada pembangkang dalam isu ini.

"Hal itu kerana tanpa sokongan pembangkang kerajaan Pahang tidak akan memperolehi majoriti dua per tiga majoriti.

"Kebimbangan menteri besar mungkin kerana tindakan beliau yang tidak berlaku adil kepada pembangkang," katanya dalam kenyataan di Kuantan, hari ini.

Malaysiakini pada 27 Mac lalu melaporkan kerajaan negeri sedang menimbang mengenai usul mengemukakan RUU antilompat parti untuk Pahang kerana mereka tidak memiliki penguasaan majoriti dua per tiga dalam DUN.

Mahu teliti RUU berkaitan

Untuk meluluskan RUU tersebut, kerajaan memerlukan lebih daripada sokongan majoriti.

Kata Wan Rosdy kerajaan Pahang masih mempertimbangkan perkara itu dan pada masa sama sedia mengadakan perbincangan dengan pembangkang sebelum membuat keputusan muktamad.

RUU seumpama itu - yang digubal bagi mengelakkan ketidakstabilan politik dalam negara - sudah diluluskan dan berkuat kuasa di peringkat persekutuan.

Setakat ini sudah tujuh negeri membentangkan RUU itu di peringkat sidang DUN masing-masing dan diluluskan.

Kata Tuan Ibrahim tidak wajar kerajaan Pahang menafikan peruntukan kepada Adun pembangkang yang dipilih oleh rakyat.

Selain itu, kata timbalan presiden PAS tersebut, tindakan menyekat Adun pembangkang menggunakan kemudahan awam serta tidak membenarkan mereka bertemu pegawai kerajaan merupakan antara isu ketidakadilan yang dilakukan kerajaan negeri selepas PRU ke-15 lalu.

"Saya bersetuju bahawa isu ini memerlukan rundingan di antara menteri besar dengan pihak pembangkang bagi membolehkan kami meneliti RUU berkenaan.

"Saya bagi jaminan bahawa mana-mana RUU yang mendatangkan kebaikan kepada kestabilan politik, kebajikan rakyat dan pembangunan negeri akan disokong sepenuhnya," katanya lagi.

DUN Pahang dijangka bersidang pada Mei ini.