Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mahkamah putuskan Thomas dakwa Najib tanpa niat jahat

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa bekas peguam negara Tommy Thomas tidak sewenang-wenangnya mendakwa Najib Razak dengan niat jahat tetapi hanya selepas menerima kertas siasatan yang lengkap daripada agensi penyiasat.

Hakim Ahmad Bache berkata hanya setelah mengkaji dan berpuas hati dengan bukti yang dikumpul, Thomas mengeluarkan persetujuan untuk mendakwa bekas perdana menteri itu terhadap 35 pertuduhan dalam empat kes.

Kes itu berkaitan 1MDB, International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan pengubahan wang haram di bawah Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Dia berkata isu “menyasarkan bekas perdana menteri atau sasaran niat jahat” tidak timbul kerana menjadi tugas Thomas sebagai pendakwa raya untuk mendakwa Najib.

Hakim berkata dalam kes ini, semasa saman difailkan pada 2021, pendakwaan terhadap 35 pertuduhan dalam empat kes itu masih diteruskan atau belum selesai dan Thomas telah meletak jawatan pada 28 Feb 2020.

"Oleh itu, dia (Thomas) tidak dan tidak akan terlibat dalam menjalankan prosiding 35 pertuduhan dalam empat kes itu, dan belum ada penentuan muktamad bagi empat kes itu," katanya dalam penghakiman setebal 37 muka surat bertarikh 28 Feb dalam saman yang difailkan Najib terhadap Thomas.

Pada 25 Nov tahun lepas, Ahmad membenarkan permohonan Thomas untuk membatalkan saman Najib berhubung dakwaan salah guna jawatan awam kerana mendakwanya atas pertuduhan membabitkan kes 1MDB.

Hakim itu berkata untuk bersetuju dengan cadangan bahawa Thomas telah melakukan ketiga-tiga kesalahan atau sebab tindakan (salah guna dalam jawatan awam, penyalahgunaan proses yang berniat jahat dan kecuaian) walaupun kuasanya, juga akan membuka kepada semua tindakan pendakwa raya akan dipersoalkan.

Dia berkata ia juga membuka kepada penelitian awam, sekali gus mencabar budi bicara yang hampir tidak terikat yang diberikan kepadanya (Thomas) di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dan juga timbalannya (Timbalan Pendakwa Raya -TPR) untuk melaksanakan tugas mereka tanpa rasa takut atau pilih kasih.

“TPR juga akan takut untuk mengemukakan pertuduhan terhadap suspek walaupun terdapat bukti yang terlalu banyak, kerana risiko mendedahkan mereka kepada saman sivil kemudiannya. Oleh itu, ini berpotensi membawa kepada peningkatan ketara aktiviti jenayah di negara ini.

“Paling teruk, ia akan mengundang tertuduh untuk memfailkan tuntutan terhadap pendakwa raya meski pun sebelum prosiding dimulakan atau sebelum mereka dibebaskan seperti kes sekarang di mahkamah ini. Ini jelas akan menyebabkan kucar-kacir dan sistem keadilan jenayah kita akan terancam secara berbahaya,” katanya.

Hakim berkata pendakwa raya dan TPR kemudiannya perlu hadir ke mahkamah dalam perbicaraan penuh untuk memberi keterangan dan menjelaskan bagi setiap kes, membuang masa rasminya dan dana awam serta menjejaskan dengan serius integriti institusi peguam negara atau pendakwa raya.

Ahmad berkata ini bertentangan dengan dasar awam dan bercanggah sepenuhnya dengan undang-undang prosedur yang ditetapkan dan Kanun Tatacara Jenayah.

“Oleh itu, ini tidak sepatutnya dibenarkan dan tuntutan itu perlu dibatalkan kerana ia remeh dan menyusahkan. Ia juga akan menetapkan duluan buruk dan berbahaya apabila orang yang dituduh boleh memfailkan tuntutan terhadap Peguam Negara/Pendakwa Raya untuk setiap pembebasan,” katanya.

Hakim berkata dia berpendapat tindakan plaintif memfailkan tuntutan ini boleh dilihat sebagai serangan kolateral terhadap pendakwaan 35 pertuduhan jenayah kerana plaintif akan mengambil tindakan sivil secara pramatang berdasarkan pertuduhan jenayah yang masih belum selesai di mahkamah jenayah.

Hakim berkata mahkamah berpendapat tuntutan itu tidak sepatutnya difailkan sama sekali, sebelum perbicaraan empat kes itu selesai.

“Ia juga telah menimbulkan kekeliruan dan pelanggaran bidang kuasa antara bidang kuasa mahkamah sivil dan jenayah dan ini tidak sepatutnya dibenarkan sama sekali,” katanya.

Mahkamah berpendapat punca tindakan penyelewengan dalam jawatan awam dan proses yang dipanggil berniat jahat adalah tidak mampan dan bukan permulaan kerana Thomas tidak menjalankan atau mengambil bahagian dalam pendakwaan empat kes itu,katanya.

“Walaupun Thomas mempunyai agenda terhadap plaintif (yang tidak dipersetujui oleh mahkamah ini), dia tidak akan menjalankan pendakwaan terhadap plaintif.

“Bagaimana boleh dia dikatakan melakukan salah guna dalam jawatan awam dan kesalahan lain. Oleh itu, tidak ada keperluan bagi saman ini untuk dibicarakan sepenuhnya dan tiada sebab untuk Thomas datang ke mahkamah untuk menjelaskan kerana tuntutan itu harus dibatalkan secara ab initio,” katanya.

Dalam saman yang difailkan pada 22 Okt 2021, Najib mendakwa pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada langkah yang telah dirancang lebih awal oleh Thomas dan juga selaras dengan rancangan kerajaan PH pada masa itu.

Najib memohon satu deklarasi bahawa Thomas telah menyalah guna jawatan awam dan ganti rugi RM1.9 juta termasuk fi rundingan untuk pasukan audit bagi menyemak dokumentasi dalam penyediaan fakta untuk menangani pendakwaan terhadapnya.

-Bernama