Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Rayuan Kamarul Zaman dalam saman fitnah terhadap Khalid Samad ditolak

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak rayuan pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Kamarul Zaman Yusoff dalam saman fitnah terhadap bekas ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Mahkamah membuat keputusan itu semasa prosiding dalam talian tengah hari tadi.

Peguam defendan, Faiz Fadzil mengesahkan kepada media keputusan prosiding rayuan di hadapan pesuruhjaya kehakiman Latifah Mohd Tahar.

Peguam itu berkata, mahkamah mendapati Kamarul membangkitkan isu agama dan kaum dalam artikel yang ditulisnya, justeru Khalid mempunyai asas untuk memberi komen yang adil berhubung artikel itu.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi peguam plaintif, Mohd Harris Mohan Abdullah berhubung perkara itu.

Pada 29 April tahun lalu, Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur menolak saman sivil Kamarul terhadap Khalid.

Hakim Zulqarnain Hassan memutuskan Khalid berjaya membangkitkan pembelaan komen yang adil.

Mahkamah Sesyen juga memerintahkan pensyarah itu membayar kos RM10,000.

Pada Julai 2020, Kamarul memfailkan saman terhadap Khalid berhubung pendapat pengarah komunikasi Amanah itu yang disiarkan dalam sebuah laman web.

Artikel itu yang diterbitkan pada April 2017 merupakan respons terhadap kritikan Kamarul terhadap buku Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, “Becoming Hannah: A Personal Journey”.

Mereka juga memfailkan saman fitnah antara satu sama lain berkaitan dakwaan Yeoh membawa "agenda Kristian" melalui bukunya.

Tahun lalu, media melaporkan Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur menolak satu lagi saman fitnah Kamarul terhadap tujuh pemimpin DAP, kerana didakwa tidak mematuhi perintah hakim.

Pada 2020, media melaporkan ahli akademik itu memfailkan beberapa saman terhadap beberapa pemimpin DAP berhubung komen yang dibuat terhadap tindakannya membuat laporan polis pada 2017 terhadap dakwaan Yeoh membawa “agenda Kristian”.