Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

K’jaan bincang dengan Jakoa, Jakim isu Orang Asli dipaksa peluk Islam

Kerajaan akan mengadakan perbincangan terperinci bersama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Sapiah Mohd Nor dan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) berhubung isu sekumpulan Orang Asli yang mendakwa dipaksa memeluk Islam.

Menurut Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Ahmad Zahid Hamidi, ia bagi mengelakkan timbul sebarang kekeliruan seolah-olah terdapat paksaan untuk memeluk sesuatu agama.

“Jadi perkara begini kita akan perbincangkan dan kita akan bawa ke makluman Jakim tangani masalah ini… usaha dakwah secara tindakan susulan saya pasti akan dilakukan.

“Soal pengisian (Islam) itu penting untuk dilakukan supaya tak timbul soal kekeliruan, apatah lagi timbul soal seolah-olah ada paksaan.

“Tidak ada paksaan dalam beragama, oleh itu kita elakkan perkara ini dipolemikkan dan ditangani dengan sebaik mungkin,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.

Dia berkata demikian apabila ditanya mengenai adakah kementerian akan melihat garis panduan untuk ditambah baik supaya isu sedemikian tidak timbul, dan pada masa sama golongan Orang Asli yang telah memeluk Islam tidak tersisih.

Ia susulan laporan 137 Orang Asli daripada suku Bateq Mayah memohon mahkamah sivil membatalkan status Islam mereka berikutan penukaran agama beramai-ramai yang didakwa menyalahi undang-undang pada 30 tahun lalu.

Sementara itu, pengerusi BN itu turut ditanya mengenai pandangan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berhubung Pakatan Harapan lebih cenderung untuk membiarkan BN menerajui tiga negeri pimpinan Perikatan Nasional - Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Itu pandangan dia (Khalid)… Nanti kita bincang dalam sekretariat perundingan kerajaan perpaduan,” katanya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan PH lebih cenderung agar BN menerajui tiga negeri tersebut sekiranya mereka memenangi pilihan raya negeri akan datang.

Pada masa sama, Khalid berkata calon untuk jawatan menteri besar akan dibincangkan dan diputuskan pada mesyuarat antara parti-parti PH akan datang.

Sebaliknya, bagi calon menteri besar di tiga negeri pimpinan PH - Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan dikekalkan penyandangnya.