Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Punca kematian Vinosiny masih misteri - Peguam keluarga

Punca kematian pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) S Vinosiny masih diselubungi misteri walaupun polis mengaitkan kematiannya akibat renjatan elektrik, kata peguam keluarganya.

Menurut M Manoharan, ini kerana laporan Suruhanjaya Tenaga (Wilayah Utara) yang dihantar ke pejabatnya menyatakan tidak berlaku renjatan elektrik dalam kejadian itu.

“Suruhanjaya dalam laporan mereka kepada kami telah mengatakan bahawa Vinosiny tidak mati akibat renjatan elektrik.

"Lalu bagaimana dan mengapa polis dan UUM meyakinkan keluarga dan orang ramai bahawa ia adalah renjatan elektrik?" kata Manoharan kepada Malaysiakini hari ini.

Katanya, pada bulan lepas, Mahkamah Koroner di Alor Setar memutuskan Vinosiny yang berusia 20 tahun meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik.

Polis turut mengesahkan perkara yang sama, dengan memetik laporan bedah siasat yang dilakukan ke atas si mati.

Keluarga dinafikan keadilan

Manoharan membangkitkan semula keraguan mengenai versi "rasmi" kematian Vinosiny, dengan menyatakan bahawa inkues kematiannya dilakukan tanpa pengetahuan keluarga.

“Adalah membingungkan mengapa polis dan pejabat pendakwa raya enggan mendedahkan semua dokumen berkaitan kepada saya sebagai peguam keluarga.

"Surat telah dihantar kepada semua pihak berkuasa yang berkaitan tetapi tidak berjaya. Mahkamah Koroner mengatakan dokumen itu telah dikembalikan kepada jabatan undang-undang negeri, dan jabatan undang-undang negeri menyatakan ia bersama polis, tetapi polis kini enggan memberi kerjasama dan mendedahkan dokumen yang dikemukakan kepada koroner,” katanya.

Manoharan seterusnya mendakwa polis dan UUM cuba menafikan keadilan terhadap keluarga dalam kes berkenaan.

"Ini memerlukan ganti rugi am yang besar, serta ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan terhadap polis, UUM, Jabatan Peguam Negara, dan juga ahli patologi.

"Keputusan koroner tanpa pendengaran yang sewajarnya dan tidak memanggil pihak untuk membantu dalam menentukan punca kematian adalah mengecewakan. Kini, semua jenis laporan pakar yang bercanggah muncul.

“Kami benar-benar tidak tahu siapa yang bercakap benar dan siapa yang berbohong,” katanya.