Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Anwar puas hati lawatan sehari ke Kemboja

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berpuas hati dengan lawatan rasmi sehari beliau ke Kemboja kerana berpeluang membincangkan pelbagai isu dua hala, serantau serta antarabangsa dengan rakan sejawatannya Hun Sen.

Bercakap kepada media Malaysia di penghujung lawatannya, Anwar berkata beliau sangat menghargai jemputan rakan sejawatannya itu, seterusnya memperkukuhkan lagi hubungan diplomatik yang terjalin sejak 66 tahun lepas.

"Dalam mesyuarat dua hala, Hun Sen turut mempelawa Malaysia supaya menggunakan produk buluh tempatan di sini, selain saya juga berpeluang berbuka puasa dengan 6,000 orang Islam di Kemboja dalam majlis yang dihoskan oleh Hun Sen.

"Saya juga berkesempatan bertemu dengan rakan-rakan dari Malaysia di Kedutaan Malaysia di sini," katanya.

Anwar bertemu Raja Kemboja Raja Norodom Sihamoni.

Sementara itu, Anwar berkata isu ketegangan di Myanmar yang dibangkitkan oleh Hun Sen lebih sesuai dibincang dan dirundingkan di peringkat Asean.

Menurutnya, ini kerana isu di Myanmar itu adalah politik dalaman negara berkenaan, dan Asean merupakan platform terbaik untuk membincangkannya sebagai satu pasukan.

Anwar tiba di Phnom Penh pagi semalam bagi memperkukuh lagi hubungan dan kerjasama dua hala yang terjalin antara Malaysia dan negara itu sejak 1957.

Sebaik tiba, Perdana Menteri dibawa ke Peace Palace di Phnom Penh yang merupakan pejabat rasmi perdana menteri Kemboja untuk diberikan sambutan rasmi dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan, diikuti acara lintas hormat diiringi Hun Sen.

Pemeteraian dua MOU

Kedua-dua pemimpin kemudian mengadakan pertemuan dua hala bagi membincangkan pelbagai isu serantau dan antarabangsa, disusuli dengan sidang media bersama untuk memaklumkan hasil perbincangan sebelum menyaksikan pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MOU) antara kerajaan Malaysia dan Kemboja.

MOU itu adalah mengenai Pengambilan, Penggajian dan Penghantaran Pulang Pekerja Kemboja bagi Sektor Domestik serta Pengambilan, Penggajian dan Penghantaran Pulang Pekerja Kemboja bagi Sektor Formal yang akan memperkasakan lagi kerjasama kedua-dua negara dalam sektor perburuhan.

Anwar turut menghadap Raja Kemboja Raja Norodom Sihamoni di Istana Diraja Kemboja selain mengadakan pertemuan dengan Presiden Senat Kemboja Say Chhum dan Presiden Dewan Rakyat Kemboja Heng Samrin.

Selepas bersolat Tarawih dan menyampaikan tazkirah ringkas di Masjid Al-Serkal, Anwar berlepas pulang ke tanah air.

- Bernama