'PAS cuma bantah rumah ibadat bukan Islam dibina tanpa kelulusan'
Kepimpinan PAS tidak pernah ada masalah dengan rumah-rumah ibadat pelbagai agama termasuklah, di Selangor, kata setiausaha perhubungan negeri bagi parti itu, Roslan Shahir Mohd Shahir.
Sebaliknya, Roslan berkata PAS hanya menanggapinya sebagai masalah apabila melibatkan rumah ibadat bukan Islam yang baru hendak dibina dan dirancang dibangunkan di kawasan perkampungan Melayu Islam yang mendapat bantahan masyarakat setempat.
“PAS tidak pernah ada masalah dengan rumah-rumah ibadat pelbagai agama termasuklah di Selangor yang ada sedia terbina sekian lama dan dapat diterima masyarakat setempat sejak awal lagi,” kata Roslan pada satu kenyataan hari ini.
Roslan juga membidas portal ini, mendakwa laporan yang memutar belit ucapan Ahli Parlimen Kuala Langat Ahmad Yunus Hairi di Dewan Rakyat pada 16 Mac, menggesa agar pihak kerajaan tidak membina rumah ibadat bukan Islam berhampiran masjid.
Ahmad Yunus berkata desakannya itu supaya mengelakkan 'ketajaman' apabila rumah ibadat berada pada satu lot sama yang mungkin akan menimbulkan ketidaktenteraman dan konflik.
Roslan juga memetik laporan tinjaun yang dibuat Malaysiakini di sekitar Brickfields, Kuala Lumpur dan Batu Caves, Selangor - dua tempat yang dipenuhi dengan rumah ibadat pelbagai kaum - yang mendedahkan majoriti orang menggesa agar cubaan mempolitikkan agama dihentikan melalui isu sedemikian.
“Dalam ucapannya pada 16 Mac 2023 di Parlimen membawa contoh sebuah tapak di sempadan kawasan beliau iaitu di Canary Garden, Bandar Bestari Klang, di bawah Majlis Perbandaran Klang dimana sebuah rumah ibadat bukan Islam sedang dibina tanpa kelulusan di tapak yang dikelilingi kampung Melayu Islam di Sijangkang, Kuala Langat.
"Penduduk di perkampungan ini telah membuat bantahan ke PBT dan beliau sendiri selaku wakil rakyat, kerana itu isu ini dibangkitkan di parlimen untuk penyelesaian,” kata Roslan.
"Isu ini berbeza kerana ia melibatkan rumah ibadat bukan Islam yang baru, dan yang tidak mendapat kelulusan.
"Dibina di kawasan perkampungan Melayu Islam yang mendapat bantahan masyarakat setempat," katanya.
Menurut Hansard rasmi pada 16 Mac, Ahmad Yunus dalam perbahasan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat mengenai perkara di bawah bajet Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, telah menyentuh garis panduan khusus untuk membina rumah ibadat - termasuk saiznya berdasarkan bilangan penduduk dan jarak minimum yang mesti diikuti.
Bertentangan dengan kenyataan Roslan bahawa Ahmad Yunus telah membangkitkan bantahan supaya rumah ibadat bukan Islam dibina di atas tanah bukan diwartakan berhampiran perkampungan Melayu, Canary Garden dipasarkan sebagai perbandaran baru seluas 448 ekar di pinggir bandar Klang, dengan pembangunan masa depan, termasuk pejabat, hartanah kediaman dan pusat beli-belah.
Ahmad Yunus dalam ucapannya turut menyifatkan kawasan yang ditetapkan sebagai plot institusi yang mempunyai kelulusan awal untuk membina kuil Hindu, tetapi pembinaan seterusnya ditolak berdasarkan pelan jalan yang tidak lengkap.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai