Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sultan Johor cadang tanah Orang Asli dijadikan tanah kesultanan

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah mencadangkan tanah-tanah Orang Asli di negeri ini dijadikan Tanah Kesultanan.

Baginda bertitah hal ini bagi memastikan ia lebih terbela di bawah enakmen yang tersedia.

"Kawasan Orang Asli dan sempadannya telah ditentukan oleh kerajaan negeri sejak zaman Almarhum Sultan Abu Bakar lagi.

"Di samping Enakmen Tanah Kesultanan, penguatkuasaan sedia ada juga harus dipergiatkan ke atas sebarang salah laku," titah Sultan Ibrahim menerusi satu hantaran di Facebook baginda, malam tadi.

Sultan Johor bertitah langkah-langkah perlu diambil bagi mengelakkan Orang Asli diambil kesempatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Baginda bertitah ada dalam kalangan Orang Asli dieksploitasi bagi menceroboh tanah demi kegiatan haram seperti tanaman kelapa sawit, memotong kayu-kayan yang bernilai serta memburu binatang liar.

"Orang Asli di Johor dijaga baik oleh pihak kerajaan yang menyediakan pelbagai kemudahan untuk kehidupan mereka seperti jalan raya, perumahan, sekolah serta surau. Sesetengah penempatan Orang Asli turut ada kemudahan Internet.

"Namun, ada orang tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan ke atas golongan ini, mengeksploitasikan mereka dalam kegiatan yang tidak sah di sisi undang-undang.

"Ada yang menceroboh tanah perladangan sehingga beratus ekar. Sudah pasti mereka dipergunakan oleh orang luar," titah Baginda.

- Bernama