Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kadar inflasi kekal 3.7 peratus pada Februari

Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia bagi bulan Februari 2023 kekal pada 129.8 atau 3.7 peratus, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kenaikan inflasi di Malaysia pada Februari 2023 kekal didorong oleh restoran dan hotel (7.4 peratus) dan makanan dan minuman bukan alkohol (7.0 peratus).

Namun begitu, peningkatan lebih perlahan bagi kumpulan pengangkutan iaitu 3.7 peratus berbanding Januari 2023 (4.0 peratus) sedikit sebanyak telah mengimbangi inflasi daripada terus meningkat.

"Selain itu, kenaikan inflasi di Malaysia turut didorong oleh kenaikan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (3.4 peratus); pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.5 peratus) dan kesihatan (1.8 peratus)," katanya.

Perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain serta perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan masing-masing merekodkan peningkatan 1.7 peratus, manakala pendidikan mengembang 1.6 peratus, kedua-dua minuman alkohol dan tembakau serta pakaian dan kasut, masing-masing meningkat sebanyak 0.8 peratus dan 0.4 peratus berbanding Februari 2022.

Mohd Uzir turut menambah kumpulan makanan dan minuman bukan alkhohol yang menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan Indeks Harga Pengguna (IHP) merekodkan peningkatan 7.0 peratus (Januari 2023: 6.7 peratus).

Mohd Uzir Mahidin

Daripada 230 item makanan, sebanyak 203 item atau 88.3 peratus telah merekodkan kenaikan harga, katanya.

Dia berkata komponen makanan di rumah yang menyumbang hampir 58 peratus daripada keseluruhan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol mencatatkan peningkatan lebih tinggi kepada 5.8 peratus berbanding 5.1 peratus pada Januari 2023.

Namun begitu, komponen makanan di luar rumah telah mencatatkan kenaikan yang lebih rendah 8.9 peratus berbanding Januari 2023 (9.3 peratus), tambahnya.

"Antara makanan di luar rumah yang mencatatkan peningkatan lebih perlahan adalah sate iaitu 9.9 peratus, nasi campur, 9.1 peratus; nasi ayam, 7.8 peratus dan masakan berasaskan daging, 7.3 peratus.

Dia seterusnya berkata untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dan meredakan inflasi makanan di luar rumah, kerajaan telah memperkenalkan inisiatif Menu Rahmah pada 31 Jan 2023.

"Bagaimanapun, hujan lebat berterusan sejak akhir Disember 2022 hingga Februari 2023 di beberapa negeri telah mendorong kepada kenaikan harga makanan, terutamanya sayur-sayuran.

"Kesan daripada perubahan monsun ini, inflasi bagi subkumpulan sayur-sayuran telah mencatatkan peningkatan ketara kepada 5.8 peratus berbanding 1.0 peratus pada Januari 2023," katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata inflasi teras yang mengukur perubahan dalam harga barang dan perkhidmatan, tanpa mengambil kira harga makanan segar yang tidak menentu serta harga barangan kawalan oleh kerajaan mencatatkan peningkatan lebih perlahan 3.9 peratus tahun ke tahun pada Februari 2023.

Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol iaitu 7.6 peratus, jelasnya.

Selain itu, kumpulan restoran dan hotel turut mencatatkan kenaikan 7.4 peratus, diikuti oleh pengangkutan (6.2 peratus); hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (3.4 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.9 peratus).

-Bernama