Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tuan Ibrahim: Pejuang wajar bubar, ahli sertai PAS dan Bersatu

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PN menolak permohonan Pejuang untuk menyertai gabungan itu kerana risau kemasukan parti baru menjelang pilihan raya negeri akan mengganggu perbincangan pembahagian kerusi.

"Masa dia masuk dekat PRN … parti komponen PN sudah bincang bila terima masuk ia mungkin akan mengganggu proses perbincangan yang sedang berjalan,” katanya seperti dipetik FMT.

Pejuang kalah PRU15 dan setiap calonnya termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad kehilangan wang deposit.

Parti itu sejak itu dilanda krisis dengan Dr Mahathir menyertai Putra pimpinan Ibrahim Ali manakala anaknya Mukhriz cuba memohon supaya Pejuang menyertai gabungan PN.

Gambar fail.

"Penyatuan ummah tidak akan berlaku sebab mereka (Pejuang) bukan parti utama sepertimana Umno atau Bersatu,” kata Tuan Ibrahim.

“Walaupun Pejuang masuk pilihan raya, ia kalah hampir semua dan mereka akui hilang deposit,” katanya lagi.

Tuan Ibrahim juga berkata Pejuang wajar dibubarkan dan ahlinya menyertai PAS atau Bersatu.

“Itu lebih baik berbanding banyakkan parti kecil kerana akhirnya ia akan menimbul masalah,” katanya.

Selain Mukhriz yang juga Adun Jitra, Pejuang juga memegang tiga kerusi DUN iaitu Anak Bukit di Kedah serta Jeram dan Kuang di Selangor yang dimenangi ahli Pejuang ketika bertanding bawah tiket Bersatu dan PH pada 2018.

“Saya jangka mereka tahu dengan bersendirian dia tak boleh pertahan kerusi itu maka dia cari gabungan lain,” kata Tuan Ibrahim.

Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 21 Mac lalu memutuskan untuk menolak permohonan Pejuang menyertai gabungan itu.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PN Hamzah Zainuddin tidak memberikan sebarang alasan mengapa gabungan berkenaan memutuskan untuk menolak Pejuang.

Hamzah dalam kenyataan menolak Pejuang juga tidak menyebut tentang Gerakan Tanah Air (GTA) yang juga dilaporkan berhasrat untuk menyertai PN.

Mesyuarat PN berkenaan dipengerusikan oleh Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin selaku pengerusi PN dan dihadiri olehy Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan Presiden Gerakan, Dominic Lau.