Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

MAINPP larang pihak tiada tauliah mengajar di masjid, surau

Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) melarang mana-mana pihak yang tiada tauliah atau tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa agama itu untuk mengajar, menyampaikan atau menerangkan mengenai agama Islam termasuk berceramah dan membaca khutbah di masjid serta surau di negeri itu.

Setiausaha MAINPP Samsudin Bakar berkata arahan ketetapan tatacara penggunaan masjid dan surau di Pulau Pinang itu berkuat kuasa serta merta seperti pekeliling yang dikeluarkan pada hari ini.

"Ketetapan tatacara itu selaras dengan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004 dan Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Kariah dan Pegawai Masjid 1997, MAINPP menegaskan jawatankuasa kariah atau surau boleh menganjurkan sebarang aktiviti berbentuk ceramah agama, usrah, tazkirah, kuliah, perkongsian ilmu dengan memenuhi syarat yang digariskan.

"Solat fardu lima waktu dan solat sunat berjemaah seperti tarawih hanya dibenarkan untuk diimamkan oleh imam lantikan atau yang dibenarkan oleh pihak berkuasa negeri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya MAINPP turut menetapkan setiap khatib yang bertugas hendaklah membaca sepenuhnya teks khutbah yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) tanpa ditokok tambah atau dipinda.

Samsudin berkata khatib jemputan juga dilarang menyampaikan khutbah melainkan setelah mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa agama di negeri ini.

Katanya setiap kuliah yang disampaikan tidak boleh menyentuh isu-isu politik kepartian dan sensitiviti kaum atau agama serta perlu menjaga adab sopan dari segi bahasa penyampaiannya.

"Selain itu, tidak dibenarkan untuk mengedar, menjual, menggantung, menampal atau memacak sebarang bentuk penerbitan yang mengandungi fahaman, ideologi atau doktrin yang boleh menyentuh sensitiviti mana-mana pihak di bangunan masjid atau surau serta perkarangannya," katanya.

Dia berkata orang bukan Islam boleh memasuki masjid dan ruang solat dengan keizinan pihak pengurusan masjid dengan syarat menjaga perlakuan serta tingkah laku agar tidak mencemarkan kesucian masjid dan surau.

Dalam pada itu, menurutnya ketetapan tersebut turut menggariskan individu yang memegang jawatan politik termasuk mereka yang menjadi calon pilihan raya dalam tempoh lima tahun adalah dilarang untuk memimpin solat, menyampaikan khutbah atau ceramah atau merasmikan apa-apa program anjuran masjid dan surau kecuali ahli MAINPP.

"Selain itu MAINPP turut melarang penganjuran sebarang majlis oleh parti politik atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan politik," katanya.

-Bernama