Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

‘YB janganlah masuk’, kata timbalan menteri pada YB PAS

Pertanyaan anggota parlimen PAS berhubung pendirian kerajaan terhadap acara ‘Thai Hot Guy’ dibalas selamba oleh timbalan menteri hal ehwal Sabah, Sarawak dan tugas-tugas khas Ugak Kumbong. 

“Dengan adanya agenda-agenda program begitu YB, janganlah masuk,” katanya menjawab pertanyaan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas).

PAS membantah persembahan pembukaan sebuah kelab malam di Kuala Lumpur minggu depan yang menampilkan lelaki sasa berpakaian dalam wanita yang digelar “Thai Hot Guy”. 

Ahmad Fadhli membangkitkan perkara itu dalam soalan tambahan sewaktu sesi waktu pertanyaan menteri.

Katanya, acara itu diiklankan secara terbuka di internet dan berlangsung ketika Ramadan. 

“Pada pandangan timbalan menteri, adakah program-program sebegini sesuai dengan kerangka Malaysia Madani? 

“Dan kalau tak, saya yakin (ia) diusahakan (untuk) dibatalkan,” soal ketua pemuda PAS itu. 

Ahmad Fadhli turut membawa salinan poster berwarna acara tersebut di Dewan Rakyat.

Ugak Kumbong

Acara itu akan diadakan pada 30 Mac di Privacy Club Tun Razak, Kuala Lumpur. 

Ugak bagaimanapun menasihatkan Ahmad Fadhli tidak menghadiri program sedemikian.

“Rangka Malaysia Madani ini adalah untuk menyusuli kepada semua rakyat di seluruh kementerian. 

“Dengan adanya agenda-agenda program begitu YB, janganlah masuk,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan kita tiada program-program seperti dibangkitkan.

“Malaysia Madani tidak akan teruskan dengan program yang tidak sihat tu kerana rakyat Malaysia ini berbilang kaum, berbilang agama. 

“Kita percayalah dan program madani (merupakan) satu inisiatif untuk memberikan pembangunan kepada rakyat yang miskin tegar, kos sara hidup yang susah sekarang,” katanya. 

Terdahulu, PAS itu membantah keras penganjuran acara itu yang disifatkan sebagai "keterlaluan, tidak sensitif, tidak bermoral, malah menjijikkan".

Setiausaha politik perdana menteri Azman Abidin mendedahkan premis acara tidak mempunyai lesen hiburan dan tidak membuat sebarang permohonan.

Katanya, Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) dalam proses semakan untuk mengambil tindakan jika terdapat pelanggaran peraturan dan syarat oleh penganjur.