Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Iran sedia pulihkan hubungan ekonomi dengan semua negara Arab

GLOBAL | Iran bersedia untuk menyambung semula hubungan ekonomi dengan semua negara Arab di Timur Tengah berikutan perjanjian mengenai pemulihan hubungan diplomatik dengan Arab Saudi baru-baru ini, kata Menteri Ekonomi Iran Ehsan Khandozi kepada Sputnik.

"Berasaskan dasar kejiranan, kerajaan bersedia sepenuhnya untuk menyambung semula hubungan ekonomi dengan semua negara di rantau ini (Timur Tengah) kerana ia dapat mengukuhkan wilayah itu.

“Negara seperti Arab Saudi akan berpeluang untuk bekerjasama dengan Iran dalam bidang ekonomi,” kata Khandozi.

Pada 10 Mac, Iran dan Arab Saudi menandatangani perjanjian untuk menyambung semula hubungan serta membuka kedutaan dan pejabat perwakilan dalam tempoh dua bulan.

China bertindak sebagai perantara untuk perjanjian itu.

Kenyataan bersama itu ditandatangani selepas beberapa hari perbincangan antara ketua Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran dan rakan sejawatannya dari Arab Saudi di Beijing.

Menteri luar kedua-dua negara juga dijangka mengadakan pertemuan untuk membincangkan mengenai pelaksanaan perjanjian itu.

Hubungan diplomatik antara Tehran dan Riyadh terputus pada 2016 selepas serangan terhadap kedutaan diplomatik Arab Saudi di Iran oleh penunjuk perasaan menentang hukuman mati kerajaan terhadap ahli teologi Syiah terkemuka Nimr al-Nimr.

Namun dalam beberapa bulan kebelakangan ini, kedua-dua pihak telah menyatakan hasrat untuk menghapuskan perbezaan yang wujud.

Dalam temu bual dengan The Atlantic pada September, Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman berkata Arab Saudi perlu membina hubungan dengan Iran sama seperti dengan negara jiran yang lain.

- Bernama