Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bicara tangguh hari ini, Nuramira sakit perut

Perbicaraan kes persembahan komedi kontroversi Siti Nuramira Abdullah ditangguhkan ke esok kerana dia mempunyai sijil cuti sakit kerana sakit perut.

Peguamnya Ramesh NP Chandran berkata Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menangguhkan prosiding dan dia dijangka dapat hadir ke prosiding itu esok.

Ramesh berkata pasukannya akan membuat pemeriksaan balas terhadap saksi pertama pihak pendakwaan Muhammad Ashraf Kamal Musthaffa esok.

Ashraf ialah hos acara persembahan terbuka di Kelab Komedi Crackhouse di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur pada 4 Jun tahun lepas, yang disertai Siti Nuramira.

Siti Nuramira didakwa mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan berkenaan kesalahan menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat, atau memudaratkan melibatkan agama, antara individu atau kumpulan yang menganut agama sama atau berlainan.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara lima tahun.

Persembahannya mencetuskan kontroversi selepas dia membuka tudung dan pakaian luar selepas mendakwa menghafal al-Quran.

Semalam, Ashraf berkata persembahan Siti Nuramira melanggar peraturan tidak bertulis "3R" (agama, kaum, raja) dengan menyentuh agama.

Bagaimanapun, ketika diperiksa balas peguam bela R Sivaraj, Ashraf mengaku bahawa aspek 3R pernah disentuh secara di Crackhouse dan dia sendiri pernah menggunakan kata-kata kesat dalam persembahannya.

Ketika prosiding semalam, rakaman pendek persembahan Siti Nuramira ditayangkan.

[Baca berita asal]