Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Keuntungan Bernas: Saya pilih serah pada pesawah, kata Anwar

PARLIMEN | Anwar Ibrahim berkata dia ada dua pilihan semasa berdepan dengan isu menguruskan keuntungan syarikat Padiberas Nasional Bhd (Bernas) milik Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Katanya, dia boleh menggunakan dana yang berkaitan untuk dijadikan sumbangan kepada parti politik, atau mengambil keuntungan tersebut untuk dikembalikan kepada petani.

“Bagi kepentingan pesawah miskin, (saya) minta dia (Syed Mokhtar) menderma kepada pesawah secara langsung (daripada) RM60 juta dan 30 peratus keuntungan yang dicatat selama lebih 20 tahun," katanya.

Tambah perdana menteri, ia merupakan kali pertama kerajaan meminta agar 30 peratus daripada keuntungan bersih dicatat oleh syarikat terbabit untuk dikongsikan bersama pesawah.

“Ada pendekatan berbeza (yang boleh diambil), satu - boleh serah kepada parti, satu serah kepada pesawah padi.

"Saya pilih untuk serah kepada pesawah padi,” katanya ketika sesi waktu pertanyaan kepada perdana menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Tambun itu dalam penjelasannya kepada soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) berkata kerajaan mengambil pendekatan berbeza daripada kerajaan sebelum ini yang meminta syarikat-syarikat besar menderma kepada parti atau perseorangan.

“Cuma pendekatan kita (kerajaan) tentu berbeza berbanding dulu iaitu meminta syarikat-syarikat besar memindahkan kewangan besar, pengecualian dan kemudian menderma kepada parti atau perseorangan.

“Saya memilih memanggil Tan Sri Syed Mokhtar memberi jaminan sokongan kepada syarikat-syarikat yang (mempunyai) projek-projek yang memberi manfaat kepada negara,” kata Anwar.

Menurutnya selain Bernas, syarikat besar lain turut terlibat dalam menyumbangkan keuntungan syarikat mereka kepada sektor lain seperti bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Dia berkata setakat ini, terdapat 60 syarikat termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat gergasi dan multinasional terlibat dalam sumbangan itu untuk menampung pembiayaan TVET yang terdiri daripada penyelenggaraan dan latihan.

“Kumpulan Albukhary juga telah menawarkan diri untuk membantu TVET di Pekan kerana (kilang pembuatan) Proton di situ dan juga di Tanjung Malim.

“Jadi pendekatan kerajaan ialah meminta syarikat-syarikat membantu sama ada bantu projek-projek rakyat miskin atau dalam kes-kes ini secara khusus, TVET kerana TVET itu melatih anak-anak kita yang majoritinya Melayu-bumiputra untuk meningkatkan kemahiran, dapat peluang pekerjaan lebih baik dan upah gaji lebih tinggi,” katanya.

Dia berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan daripada Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) yang meminta perdana menteri menyatakan senarai syarikat selain Bernas yang turut diminta menyumbang secara langsung kepada golongan atau sektor tertentu, dan berapa peratusan keuntungan syarikat berkenaan yang perlu disumbangkan.