Krisis iklim ibarat bom jangka - PBB
GLOBAL | Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres memberi amaran bahawa "bom jangka iklim sedang berdetik" ketika menggesa negara-negara kaya untuk mengurangkan pelepasan karbon lebih awal.
Ini selepas penilaian terbaru daripada para saintis mengatakan masa tidak terlalu lama untuk menangani perubahan iklim.
“Kadar kenaikan suhu sepanjang setengah abad yang lalu adalah yang tertinggi dalam 2,000 tahun,” katanya.
"Kepekatan karbon dioksida berada pada tahap tertinggi dalam sekurang-kurangnya 2 juta tahun. Bom jangka iklim sedang berdetik," katanya.
Dalam ucapan yang dirakam, Guterres (gambar, atas) menyifatkan "laporan sintesis" keenam daripada Panel Antara Kerajaan PBB mengenai Perubahan Iklim (IPCC) sebagai "panduan kelangsungan hidup untuk manusia" dan menggesa negara maju supaya komited untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih pada tarikh lebih awal sekitar tahun 2040.
Laporan sintesis itu meringkaskan penemuan daripada tiga penilaian pakar yang diterbitkan antara 2021 dan 2022 yang melihat sains fizikal, kesan dan mitigasi perubahan iklim.
Laporan ringkasan IPCC direka bentuk bagi memberikan kejelasan kepada penggubal dasar kerana mereka mempertimbangkan tindakan selanjutnya untuk mengurangkan pelepasan.
"Kami mempunyai alat untuk mengelakkan dan mengurangkan risiko kesan terburuk krisis iklim, tetapi kami mesti memanfaatkan masa ini untuk bertindak sekarang," kata utusan khas AS mengenai iklim John Kerry.
Laporan setebal 37 muka surat itu disuling daripada beribu-ribu muka surat penilaian terdahulu selepas perbincangan selama seminggu di Interlaken, Switzerland.
Dokumen itu juga akan menjadi panduan untuk penilaian dan pemeriksaan terhadap perubahan iklim global yang dirancang dilancarkan pada tahun ini, dengan negara-negara akan menilai kemajuan.
Di bawah Perjanjian Paris 2015, negara juga dijangka mengemas kini ikrar iklim menjelang 2025.
Menurut IPCC, pelepasan mesti dikurangkan separuh menjelang pertengahan 2030an jika dunia ingin mempunyai sebarang peluang untuk mengehadkan kenaikan suhu kepada 1.5 darjah Celsius di atas paras sebelum era perindustrian - sasaran utama yang termaktub dalam perjanjian Paris.
"Jika kita bertindak sekarang, kita masih boleh menjamin masa depan kehidupan mampan yang boleh dijalani untuk semua," kata Pengerusi IPCC Hoesung Lee.
Pada keadaan semasa, planet bumi sedang berada di landasan untuk memanaskan sebanyak 3.2C menjelang akhir abad ini, dan suhu masih boleh meningkat sekurang-kurangnya 2.2C walaupun ikrar menangani perubahan iklim sedia ada dipenuhi.
Purata suhu sudah naik 1.1C lebih tinggi daripada paras tahun 1850-1900, mendorong lebih banyak kejadian cuaca ekstrem di seluruh dunia.
"Dalam kata-kata rakan sekerja yang sangat senior di IPCC, kita sedang berada di ambang kemusnahan - itu benar-benar mesej utama daripada laporan itu," kata pengarang bersama laporan sintesis IPCC itu Frank Jotzo dari Australian National University.
Pemerhati berkata perkara utama yang menjadi pertikaian dalam laporan terbaru IPCC ini termasuk penggunaan bahasa sekitar isu kewangan dan unjuran kesan perubahan iklim, serta isu "ekuiti" dan keadilan iklim untuk negara-negara miskin.
Sesetengah kerajaan juga ingin memberi lebih perhatian kepada penyelesaian iklim berdasarkan unjuran mereka sendiri, termasuk tenaga suria atau penyerapan karbon.
IPCC berkata dunia perlu mempercepatkan peralihan kepada tenaga hijau dan mengubah pertanian serta tabiat pemakanan jika ia mempunyai peluang untuk membuat pengurangan yang diperlukan dalam pelepasan karbon.
Ia juga memberi amaran tentang cuaca yang lebih ekstrem, paras laut yang naik dengan cepat dan ais di kutub Artik yang mencair.
Selain itu, IPCC menegaskan terdapat kemungkinan yang semakin meningkat untuk iklim bumi melepasi tahap yang tidak boleh diselamatkan lagi.
IPCC juga berkata hampir separuh penduduk dunia sudah terdedah kepada kesan iklim.
"Pendek kata, dunia kita memerlukan tindakan iklim di semua bidang - semuanya, di mana-mana, sekaligus," kata Guterres.
Laporan oleh David Stanway di Singapura; Suntingan oleh Bernadette Baum dan Hugh Lawson.
- Reuters
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai