MP Kepong mohon tangguh hukuman bayar ganti rugi RM2.25 juta
Lim Lip Eng memfailkan permohonan penangguhan hukuman denda membayar ganti rugi RM2.25 juta dalam saman fitnah oleh firma e-dagang Monspace (M) Sdn Bhd dan pengasasnya Jessy Lai.
Pasukan peguam ahli parlimen Kepong itu membuat permohonan penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan, hari ini.
Peguam Guok Ngek Seong mengesahkan pemfailan permohonan itu ketika dihubungi Malaysiakini.
Minggu lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Lim membayar RM2.25 juta sebagai ganti rugi dan kos kepada firma e-dagang Monspace (M) Sdn Bhd dan pengasasnya Jessy Lai.
Terdahulu hari ini, Lim berjaya mengumpul wang sebanyak itu menerusi kutipan dana.
Menurut salinan permohonan yang diberikan kepada media hari ini, Lim selaku defendan berkata penangguhan perlu diberikan sementara menunggu rayuan di peringkat Mahkamah Rayuan.
Dia juga berkata akan berdepan prejudis yang tidak dapat dipulihkan jika membuat permohonan maaf secara terbuka di beberapa akhbar dan media sosial dalam tempoh tujuh hari selepas keputusan Mahkamah Tinggi, namun akhirnya permohonan rayuannya diterima kemudian.
Dia mendakwa RM250,000 untuk kos adalah terlalu tinggi kerana jumlah itu hampir menyamai kos RM500,000 yang ditetapkan dalam satu kes sivil berbeza dalam tempoh 10 tahun lalu.
Katanya lagi, Monspace kini tidak lagi menjalankan apa-apa perniagaan dan tidak memfailkan laporan audit selepas 2017 dan ia diakui sendiri oleh Lai ketika perbicaraan sebelum ini.
Lim berkata dia telah mengarahkan pasukan peguamnya untuk menjaga wang RM2.25 juta yang diraih menerusi kutipan dana sebagai "pemegang taruh" sementara menunggu rayuan.
Dia juga berkata pihaknya berdepan risiko untuk mendapatkan semula wang RM2.25 juta daripada plaintif, jika rayuannya berjaya nanti.
Pasukan peguam Lim difahamkan dalam proses menyerahkan salinan permohonan penangguhan kepada Monspace dan Lai.
Setakat ini, Mahkamah Tinggi belum menetapkan tarikh untuk mendengar permohonan tersebut.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai