Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PBT perlu ada belas ihsan tangani penjaja tepi jalan - Exco Johor

DUN JOHOR | Ada terima aduan makcik niaga lebih 10 tahun tanpa permit, PBT datang terus angkut barang, kata Mohd Jafni Md Shukor.

Kerajaan Negeri Johor menegur segelintir pegawai penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) yang didakwa tidak mempunyai belas ihsan terutamanya dalam menangani penjaja tepi jalan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata ini berikutan pihaknya kerap mendapat aduan tindakan penguatkuasaan diambil terhadap golongan berkenaan.

Beliau berkata tindakan penguatkuasaan tidak salah, namun perlu dilaksana dengan belas ihsan dan bertanggungjawab.

"Saya menerima aduan daripada peniaga kecil di tepi-tepi jalan, ada makcik yang sudah berniaga di kawasan tersebut selama 10 tahun tanpa mempunyai permit.

"Namun satu hari, penguat kuasa PBT hadir dan terus mengangkut barang perniagaan mereka, saya rasa tindakan lebih sesuai adalah memberi nasihat terlebih dahulu sebelum tindakan tegas lain diambil," katanya ketika menjawab soalan lisan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di Iskandar Puteri, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Pandak Ahmad (BN-Kota Iskandar) berhubung tindakan kerajaan dalam mengatasi isu peniaga yang berniaga di tempat yang tidak sesuai terhadap peniaga tidak berlesen khususnya di DUN Kota Iskandar.

Mohd Jafni (BN-Bukit Permai) berkata kerajaan negeri menyedari golongan berkenaan memilih berniaga di tepi jalan adalah untuk mendapatkan pendapatan minimum bagi menyara diri dan keluarga masing-masing, terutama mereka yang telah kehilangan pekerjaan ketika pandemik COVID-19 dan bermula secara kecil-kecilan.

Dalam pada itu, beliau berkata Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) telah melaksanakan dan menyelaras beberapa penempatan penjaja dengan mengambil kira faktor kesesuaian dan keselamatan mengikut Undang-undang Kecil Penjaja MBIP 2020.

Antara lokasi berkenaan termasuklah di Taman Seri Orkid, Taman Universiti, Taman Perling, Taman Teknologi dan Taman Nusantara.

- Bernama