Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Hutan lebih besar dari 3 negeri akan dibersihkan - NGO

Kumpulan alam sekitar memberi amaran berkaitan pembersihan hutan besar-besaran yang melibatkan kawasan yang lebih besar daripada Perak, Pulau Pinang dan Melaka jika digabungkan.

RimbaWatch berkata analisis mereka menganggarkan hutan seluas 2.34 hektar telah ditetapkan untuk dibersihkan.

Jumlah itu cuma kecil sedikit berbanding saiz negeri Pahang, negeri ketiga terbesar di Malaysia dengan keluasan 3.59 juta hektar.

“Menggunakan data yang dikumpulkan daripada kajian, termasuk peta rasmi perhutanan dan keterangan projek, antara lain, kami menganalisis 438 isyarat yang berkaitan kawasan yang berisiko untuk pembersihan pada masa depan,” kata RimbaWatch.

Kumpulan Itu sebelum ini dikenali sebagai Rimba Disclosure Project.

Dalam kenyataan hari ini, RimbaWatch berkata pembersihan hutan-hutan ini berpotensi mengurangkan litupan hutan Malaysia kepada  15.6 juta hektar, atau 47.35 peratus daripada keluasan negara.

“Jumlah ini di bawah komitmen Malaysia untuk mengekalkan litupan hutan sebanyak 50 peratus,” katanya.

Berdasarkan analisis Rimba Watch, kumpulan itu juga menganggarkan bahawa ladang kayu dalam hutan simpan akan kekal sebagai pemacu utama penebangan hutan pada masa hadapan.

Walaupun ladang itu termasuk dalam program yang dirujuk oleh pihak berkuasa hutan sebagai 'ladang hutan', RimbaWatch berkata program itu sebenarnya melibatkan penebangan hutan dan penukaran tanah hutan simpan kepada ladang perindustrian untuk komoditi seperti getah dan pokok akasia.

Kumpulan itu menggesa kerajaan untuk menamatkan semua program penebangan hutan untuk ladang balak, dan juga meminda takrifan litupan hutan untuk memasukkan hanya hutan semula jadi.

Mereka juga menggesa Putrajaya mengembangkan komitmen 50 peratus litupan hutannya, dan membangunkan strategi untuk mengekalkan litupan hutan semula jadi.

[Baca berita asal]