Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Presiden Singapura lawat Malaysia minggu depan

Presiden Singapura Halimah Yacob akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bermula Isnin hingga 22 Mac.

Kunjungan itu atas undangan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, juga bagi lawatan balas kepada kunjungan baginda ke Singapura pada Oktober 2022.

Presiden akan ditemani suaminya Mohamed Abdullah Alhabshee semasa lawatan itu.

Beliau akan diberi Sambutan Rasmi di Istana Negara dan mengadap Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Kementerian Luar Singapura memaklumkan berikutan Istiadat Sambutan Rasmi, Seri Paduka Baginda dan Presiden akan menanam Pokok Gelam (Melaleuca cajuputi) di halaman Istana.

Halimah dan suaminya juga akan menyaksikan upacara menamakan orkid kacukan baru - Vanda Halimah Yacob Mohamed sebagai penghormatan kepada pemimpin itu.

“Ini adalah kali pertama Majlis Menanam Pokok dan Majlis Penamaan Orkid dimasukkan ke dalam Lawatan Negara ke Malaysia,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan yang disediakan Suruhanjaya Tinggi Singapura, di Kuala Lumpur, hari ini.

Baginda juga berkenan meraikan dan menganjurkan Majlis Jamuan Negara sebagai penghormatan kepada Presiden Singapura.

Sebagai sebahagian daripada lawatan, Halimah juga akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Atas kapasiti sebagai Canselor Universiti Kebangsaan Singapura, beliau juga akan bertemu Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang merupakan Canselor Universiti Malaya.

Menurut kenyataan itu, Presiden juga akan bertemu dengan ahli perniagaan Singapura dan Malaysia, dan menghadiri majlis resepsi yang dianjurkan untuk warga Singapura yang berada di Malaysia.

Beliau akan diiringi Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua Hal Ehwal Luar merangkap Pendidikan Dr Maliki Osman, Menteri Perdagangan & Industri dan Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Low Yen Ling, serta Ahli Parlimen Murali Pillai, Xie Yao Quan, dan Yeo Wan Ling.

Semasa ketiadaan Presiden, Pengerusi Majlis Penasihat Presiden (CPA) Eddie Teo akan menjalankan tugas Pejabat Presiden.

- Bernama