Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Berkarisma, tapi Anwar perlu lebih terbuka

ULASAN | Apabila kita bercakap soal autoriti, iaitu ahli sosiologi terkenal pada abad ke-20, Max Weber, menyatakan ia ada tiga jenis iaitu autoriti tradisional, autoriti karismatik dan autoriti legal-rasional.

Perdana menteri ke-10 Malaysia tentunya mempunyai autoriti legal-rasional susulan jawatan yang dipegangnya, tetapi tumpuan tulisan ini ialah kepada autoriti karisma.

Pada pandangan saya, Anwar Ibrahim ialah seorang pemimpin yang karismatik terutamanya dari segi kepetahan dia berpidato dan menyampaikan ideanya, serta menarik sokongan pengundi.

Keupayaannya membahas dan menjelaskan sesuatu isu serta mengutarakan pendiriannya dalam keadaan yang tenang dan bersahaja memang dipuji serta dikagumi oleh khalayak sama ada di dalam atau di luar negara.

Bukan itu sahaja, idea dan pandangannya tentang demokrasi, tatakelola, kemiskinan dan jurang kekayaan, penindasan, kebangkitan Asia, Islam moderat, hubungan dunia Timur-Barat dan banyak lagi melayakkan Anwar diangkat sebagai intelektual awam.

Lebih dari itu adalah sikapnya yang suka bergurau dan mengusik menyebabkan dia mudah didekati oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Tidak ramai pemimpin kita yang mempunyai kualiti karismatik seperti Anwar. Pun begitu terdapat beberapa kualiti lain yang perlu diberi perhatian oleh Anwar.

Perlu belajar dari Mahathir

Selepas lama menjadi ketua pembangkang, Anwar sering menekankan agar kerajaan dan pemimpin supaya lebih terbuka mendengar teguran daripada pihak bertentangan.

Namun, setelah menjadi perdana menteri, terdapat kecenderungan untuk Anwar menggunakan tindakan undang-undang bagi menundukkan pihak lawan.

Setakat ini, Anwar sudah mengambil tindakan saman terhadap beberapa pemimpin politik iaitu Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin; Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim; Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria; Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor; dan Ahli Parlimen Pendang, Awang Solahuddin Hashim.

Meskipun beberapa tindakan itu mempunyai asas yang kukuh, kes terbaru membabitkan ahli parlimen Pendang sebenarnya tidak perlu dan bersifat picisan.

Menganggap sikap "pendendam" Anwar lebih teruk daripada Dr Mahathir Mohamad diucapkan oleh Awang Solahuddin hanyalah satu kenyataan politik biasa dan luahan ketakpuasan hati yang tidaklah keterlaluan.

Ahli politik kanan seperti Anwar seharusnya sudah lali dan tidak mengambil pusing akan kenyataan-kenyataan seperti itu.

Dalam hal ini, saya berpandangan Anwar perlu belajar daripada Mahathir untuk bersikap lebih terbuka dengan menepis kritikan sedemikian (malah lebih teruk) dan menjawab secara terbuka.

Gambar fail

Perlu diingat bahawa dalam ucapan belanjawan yang dibentangkan Anwar pada 24 Feb lalu tiada peruntukan pembangunan kawasan diberikan kepada ahli parlimen pembangkang. Ini tentunya bertentangan dengan manifesto PH yang menyatakan bahawa Dana Pembangunan Kawasan Pilihan Raya diberikan secara sama rata kepada semua ahli parlimen tanpa mengira parti.

Sebagai respons kepada tekanan ahli-ahli parlimen terutamanya pembangkang, Anwar menyatakan bahawa dia kekal dengan pendirian menyokong pemberian peruntukan tersebut tetapi mengharapkan agar ahli-ahli parlimen pembangkang untuk datang berunding dengan kerajaan seperti yang dilakukan PH ketika pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.

Pada pandangan saya, rundingan itu tidak perlu pun, sebaliknya kerajaan boleh terus menyalurkan peruntukan tanpa terikat dengan apa-apa syarat.

Tingkat jumlah wang ihsan

Perlu ditekankan bahawa peruntukan itu membolehkan seseorang ahli parlimen memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada kawasan mereka terutamanya ketika dilanda bencana.

Ia juga penting untuk mengisi kelompangan pembangunan tempatan yang tidak dicakupi oleh program persekutuan atau negeri.

Berlandaskan prinsip keadilan dan ihsan yang terangkum dalam kerangka dasar Madani, Anwar dan kerajaan perlu berjiwa besar dengan memberikan peruntukan tanpa syarat.

Lebih penting, bagi mengelakkan situasi tersebut daripada berulang, kerajaan dan pembangkang perlu bekerjasama untuk menggubal suatu akta bagi menjamin peruntukan pembangunan diberikan secara sama rata kepada ahli parlimen walau sesiapun menjadi kerajaan.

Dalam isu wang royalti, kerajaan pusat mengambil keputusan bahawa Kelantan dan Terengganu tidak layak menerimanya.

Sebagai alternatif, kerajaan pusat meneruskan pembayaran wang ihsan kepada kedua-dua negeri dengan sebahagian daripadanya disalurkan secara terus kepada golongan miskin.

Berpegang kepada prinsip Madani dan federalisme serta keperluan berjiwa besar, Anwar perlu meningkatkan pembayaran wang ihsan kepada Kelantan dan Terengganu seiring dengan semangat dan komitmen Putrajaya kepada Sabah dan Sarawak.

Sejak menerajui kerajaan, beberapa reformasi telah dilaksanakan oleh Anwar terutamanya membabitkan soal perolehan seperti pelaksanaan tender semula projek tebatan banjir bernilai RM15 bilion dan pembatalan projek bernilai RM7 bilion di bawah program Jana Wibawa.

Pada masa sama agenda reformasi yang dilaungkan Anwar dipertikai dan dipersendakan sesetengah pihak apabila dia turut memegang jawatan menteri kewangan, melantik Ahmad Zahid Hamidi yang sedang dibicarakan serta meletakkan Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat ekonomi dan kewangan kepada perdana menteri.

Terbaru Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menggunakan kuasanya untuk memberikan pengecualian pengharaman kepada Umno dalam isu usul tidak mempertandingkan dua jawatan teratas parti tersebut.

Anwar kemudian mempertahankan Saifuddin.

Berdasarkan beberapa perkembangan itu rakyat perlu terus mendesak Anwar agar dia kekal komited dengan agenda yang diuar-uarkan dan mengotakan janjinya untuk melaksanakan reformasi lebih meluas.

Antara reformasi institusi itu termasuklah pemantauan parlimen dalam pelantikan pegawai awam utama, mengehadkan penggal seseorang menjadi perdana menteri kepada 10 tahun, dan akta pembiayaan politik.

Susulan siasatan SPRM ke atas program Jana Wibawa, beberapa pemimpin Bersatu didakwa atas tuduhan rasuah. Antara mereka ialah Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad.

Muhyiddin juga didakwa atas empat pertuduhan salah guna kuasa, dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM232.5 juta dan satu pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM5 juta.

Pembangkang menyifatkan pertuduhan itu bersifat politik dan menyeru rakyat untuk bangkit menentang "kerosakan dan kezaliman" kerajaan, serta menggesa pihak berkuasa untuk tidak mengikut telunjuk penguasa.

Dapatkan sokongan ramai

Tentunya seruan dan gesaan itu diikuti pula dengan persaingan politik yang kompetetif menuju pilihan raya negeri dan ia bakal memburukkan lagi polarisasi dalam masyarakat.

Justeru, Anwar berhadapan dengan tugas yang getir untuk menguruskan perpecahan.

Sebagai pemimpin tertinggi kerajaan, ahli parlimen Tambun itu perlu memainkan peranan sebagai pemersatu bagi meredakan ketegangan dan polarisasi dalam masyarakat khususnya antara parti politik.

Isu ini perlu diuruskan dengan baik bagi mengelakkan berlakunya sebarang konflik yang boleh menggangu gugat perpaduan rakyat.

Kepimpinan Anwar memang bersifat karismatik. Kualiti itu boleh dimanfaatkan untuk mendapatkan sokongan daripada pelbagai pemegang taruh.

Namun, bagi menjamin keberkesanan kepimpinannya, Anwar perlu bersikap lebih terbuka, berjiwa besar, mengotakan janji dan menguruskan perpecahan dalam masyarakat dengan baik.

Beberapa kualiti itu membolehkan Anwar memenuhi harapan rakyat yang menggunung dan memperkukuhkan kedudukan dia sebagai perdana menteri untuk semua rakyat Malaysia.


ZAHARUL ABDULLAH ialah pensyarah pengajian polisi di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.