Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN l Menanti detik kebangkitan Umno Pahang pasca PRU15

ULASAN l Jika keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dijadikan rujukan, Umno Pahang sepatutnya melakukan munajat dan menginsafi segala kesilapan mereka. 

Bahkan sebahagian besar ketua parti itu di peringkat Bahagian seharusnya sudah boleh memilih untuk 'bersara wajib' dan seterusnya bergelar veteran Umno sahaja. 

Apa tidaknya, daripada 42 kerusi dewan undangan negeri (DUN) di Pahang Darul Makmur, gabungan Umno, MCA dan MIC hanya mendapat 17 kerusi. 

Itu pun selepas Barisan Nasional (BN) menang pada pilihan raya kecil DUN Tioman yang berlangsung lewat sedikit berikutan ada kematian calon asal Perikatan Nasional (PN) menjelang hari mengundi 19 November 2022.

Paling malang sudah tentulah MCA yang meletakkan calon di tujuh kerusi DUN dan semuanya tewas, manakala MIC yang diberikan satu kerusi DUN - Sabai, berjaya merampasnya daripada calon Pakatan Harapan (PH). 

Akhirnya, buat kali pertama dalam sejarah negeri Mat Kilau itu, Umno-BN hanya dapat menubuhkan kerajaan negeri hasil persefahaman dengan Pakatan Harapan (PH). 

Maka, Wan Rosdy Wan Ismail dapatlah memegang jawatan menteri besar buat penggal kedua. 

Wan Rosdy seterusnya menang tanpa bertanding sebagai ketua Umno Bahagian Cameron Highlands pada pemilihan yang berlangsung dua minggu lalu. 

Dia bersama lima lagi ketua Umno Bahagian mengekalkan jawatan masing-masing apabila tidak dicabar. 

Selain Wan Rosdy, turut menang tanpa bertanding adalah bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob (Bera), Ismail Mohamed Said (Kuala Krau), Abd Hamid Nazahar (Kuantan),  Abdul Rahman Mohamad (Lipis) dan Johari Harun di Bahagian Bentong. 

Lapan lagi Bahagian menyaksikan pertandingan antara dua penjuru hingga empat penjuru. 

Antara yang menarik adalah di Bahagian Pekan yang pernah diketuai bekas perdana menteri keenam, Najib Razak. 

Najib tidak dapat mempertahankan jawatan itu kerana sedang menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta pada Ogos tahun lalu. 

Dia didapati bersalah melakukan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Ada tiga individu menawarkan diri untuk menggantikan Najib pada pemilihan kali ini. 

Mereka adalah Zamri Ramly (pemangku ketua Bahagian), exco kanan kerajaan Pahang, Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff yang juga ahli dewan undangan negeri (Adun) Bebar dan bekas speaker Dun Pahang, Ishak Muhamad. 

Anak Najib, Mohd Nizar pula hanya menawarkan diri untuk jawatan naib ketua di Bahagian pernah diketuai bapanya sejak tahun 1982.

Sementara itu di Rompin pula menyaksikan pertandingan dua penjuru antara bekas ahli parlimen Rompin, Hasan Ariffin dan Adun Tioman, Mohd Johari Hussain. 

Hasan tewas pada PRU15 lalu kepada calon Perikatan Nasional (PN), Abdul Khalib Abdullah manakala Mohd Johari berjaya mengekalkan kerusi Dun Tioman dalam PRK Disember lalu. 

Persaingan hebat juga dijangka berlaku di Maran apabila penyandangnya, Shahaniza Shamsuddin dicabar Khadri Musa pada pemilihan kali ini. 

Shahaniza adalah bekas exco kerajaan negeri dan bekas Adun Kuala Sentul. 

Selain cuba mempertahankan jawatan ketua bahagian, Shahaniza juga menawarkan diri bertanding sebagai ahli majlis kerja tertinggi (MKT) Umno. 

Dia yang bertanding di kerusi parlimen Maran pada PRU15 tewas kepada penyandang kerusi itu, Ismail Abdul Muttalib mewakili PN. 

Ismail adalah bekas ketua Umno Bahagian Maran dan menyertai PN sebelum PRU15 selepas namanya tidak disenarai sebagai calon oleh BN. 

Khadri dalam satu kenyataan media pada 23 Februari lalu memberikan alasan ada pihak perlu bertanggungjawab atas kekalahan 4-0 di Maran pada PRU15 menjadi punca dia menawarkan diri untuk bertanding. 

Untuk jawatan ketua Umno bahagian Temerloh pula menyaksikan pertandingan antara bekas Adun Kuala Semantan, Azmi Mat Ludin dan Ridzuan Hazimin. 

Jawatan itu kosong berikutan penyandangnya, Mohd Sharkar Shamsudin memutuskan untuk 'berehat' selepas dilantik sebagai speaker Dun Pahang. 

Dia bagaimanapun bertanding untuk jawatan MKT Umno pada pemilihan yang akan berlangsung esok. 

Bagi jawatan ketua Umno Bahagian Raub dan Paya Besar juga menyaksikan pertandingan dua penjuru. 

Di Raub, penyandang ketua bahagian, Abdul Aziz Mat Kiram akan dicabar bekas ketua bahagian itu, Shahiruddin Ab Moin. 

Shahiruddin pernah mengumumkan hasrat untuk melepaskan jawatan ketua bahagian pada Jun 2018 bagi memberi laluan kepada Abdul Aziz. 

Pemilihan di Paya Besar pula menyaksikan bekas timbalan menteri kewangan, Mohd Shahar Abdullah mencabar penyandang ketua bahagian, Ahmad Tajuddin Sulaiman. 

Mohd Shahar dijangka berdepan tugas sukar selepas dia tewas dalam usaha menjadi ketua pemuda Umno hujung minggu lalu. 

Mohd Shahar Abdullah

Sekiranya dia gagal dalam pemilihan peringkat bahagian esok, masa depan dia dalam politik agak samar. 

Untuk jawatan ketua Umno Bahagian Jerantut pula menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Haris Salleh Hamzah (bendahari Umno bahagian Jerantut), Ahmad Murad Idris, Adzlan Zakaria dan Mohd Taufek Abd Razak. 

Adzlan adalah pegawai khas kepada bekas ahli parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris. 

Bahagian terakhir yang turut menyaksikan pertandingan adalah Indera Mahkota. 

Tiga calon menawarkan diri untuk jawatan ketua bahagian termasuk penyandangnya, Mustaffar Kamal Ab Hamid, Mazlan Mat Rashid dan Mohd Hazmi Yusof. 

Mazlan ketika ini adalah timbalan ketua Umno bahagian, Mohd Hazmi pula pernah menjadi ketua Umno bahagian Indera Mahkota sebelum tewas kepada Mustaffar Kamal dalam pemilihan pada 2013.

Selepas pemilihan berakhir esok, bebanan tugas digalas Wan Rosdy untuk memperkukuhkan kembali Umno Pahang akan bertambah.

Apatah lagi dengan keputusannya menawarkan diri untuk bertanding jawatan naib presiden Umno. 

Jika ditakdirkan pula dia terpilih sebagai naib presiden Umno, maka siapa pula akan menjaga dan memantau jika ada pergolakan dalam Umno di Pahang selepas proses pemilihan dan pengumuman keputusan dibuat.

Maknanya, perlu tunggu berapa lama lagi untuk ahli Umno Pahang kembali bangkit selepas prestasi cukup buruk pada PRU15. 


NS RAMLI ialah wartawan Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian portal berita ini.