Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Polis buka kertas siasatan kes ugutan terhadap 2 kru Mentega Terbang

Polis telah membuka kertas siasatan terhadap kes jenayah khianat harta benda dan ugutan jenayah terhadap dua kru penerbitan filem Mentega Terbang.

Ketua Polis Selangor Komisioner Polis (CP) Hussein Omar Khan memaklumkan dua laporan telah dibuat semalam, masing-masing di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan IPD Ampang, dan kedua-duanya disiasat di bawah Seksyen 507/427 Kanun Keseksaan.

Dalam kenyataan semalam, Hussein berkata suspek menggunakan modus operandi yang sama kepada kedua-dua kru terbabit.

“Kejadian pertama berlaku di tempat letak kereta terbuka di Taman Dagang Jaya, Ampang Selangor pada 16 Mac lebih kurang jam 6.30 pagi. Pengadu memaklumkan kereta pengadu jenis Proton Saga telah disimbah cat.

“Selain itu, turut dijumpai helaian kertas nota yang ditinggalkan berdekatan dengan kereta pengadu dengan tulisan perkataan-perkataan yang berunsur ugutan jenayah terhadap nyawa pengadu,” katanya.

Bagi kejadian kedua pula, Hussein berkata ia berlaku sekitar 3.15 pagi di Kajang, di mana kenderaan pengadu dibaling dengan plastik lutsinar berisi cat.

Menurutnya, satu sampul surat warna putih yang ditulis perkataan-perkataan berunsur ugutan jenayah terhadap nyawa pengadu turut ditemui di tempat kejadian.

“Selain itu pengadu juga turut menerima mesej melalui telefon yang berunsur ugutan jenayah terhadap diri dan keluarga pengadu,” katanya lagi.

Semalam, Pengarah filem Khairi Anwar dilaporkan membuat laporan polis setelah mendapati keretanya disimbah dengan cat hitam dan merah.

Dia juga menemui nota-nota ugutan yang ditinggalkan di rumahnya, yang antaranya berbunyi: Nota lain yang ditinggalkan di rumahnya berbunyi: ""Lu dengan family mesti mati", "Islam pasti bangkit! #MentegaTerbang" dan "Tengok lu punya langsi Mentega Terbang".

Dalam laporan polis yang dilihat Malaysiakini, pengarah berusia 31 tahun itu berkata kereta pelakon Arjun Thanaraju juga disimbah dengan cat merah dan asid, di rumahnya di Ampang.

Seksyen 507 yang berhubung kesalahan ugutan jenayah membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Seksyen 427 Kanun Keseksaan untuk kesalahan khianat membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Hussein meminta agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan negara.

“Pihak polis mengambil serius kejadian ini dan akan menyiasat sehingga mereka yang terlibat ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya lagi.

Dia juga meminta mana-mana pihak yang ada maklumat lanjut berkenaan kedua-dua insiden itu untuk membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis yang terdekat atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes iaitu Insp Mu’az Mazlan di talian 017-9788804 dari IPD Kajang dan Insp Alif di talian 018-9834211 dari IPD Ampang.

Mentega Terbang disiarkan di platform penstriman Viu dan mengisahkan tentang Aishah, remaja berusia 15 tahun yang bergelut dengan persoalan kehidupan selepas mati dalam pelbagai agama, setelah ibunya didiagnos menghidap penyakit kritikal.

Filem itu mengundang kontroversi dengan sejumlah pihak mendakwa ia menghina Islam dan kini disiasat mengikut Seksyen 289A dan 505(b) Kanun Keseksaan, Serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.