ULASAN | Analisis undian etnik PRU15 – Bahagian 4: Kutub pengundi Cina
ULASAN | Pengundi Cina di Malaysia terdiri daripada 28 peratus dari jumlah keseluruhan pemilih, merangkumi 4.9 juta pengundi di Semenanjung Malaysia. Ini menjadikan mereka komuniti kedua paling besar.
Disebabkan komposisi kerusi yang bercampur-campur serta sejarah kehidupan di serata Malaysia (termasuk di kawasan pedalaman), pengaruh mereka dalam menentukan keputusan pilihan raya melangkaui segelintir kerusi majoriti Cina di bandar. Disebabkan sengitnya persaingan politik, boleh dikatakan, orang Cina Malaysia menentukan keputusan pilihan raya di lebih sepertiga Semenanjung Malaysia.
Artikel keempat siri ini membincangkan tahap, variasi dan impak sokongan orang Cina (sama ada kuat atau lemah) dalam pilihan raya terhadap gabungan-gabungan dalam PRU15.
Sokongan lebih tinggi dari pengundi Cina sedikit sebanyak menaikkan prestasi PH (khususnya DAP). Sokongan kuat dari mereka mengukuhkan kejayaan gabungan itu. Kurangnya sokongan pengundi Cina pula melemahkan BN yang sudah sedia lemah, menolak MCA ke pinggir gelanggang politik, dan membataskan cita-cita PN apabila masyarakat itu menolak sepenuhnya naratif yang dibawa gabungan berkenaan.
Sokongan pengundi Cina semakin kuat
Sokongan pengundi Cina buat PH dalam PRU15 dianggarkan paling tinggi dalam sejarah, lebih tinggi dari pilihan raya-pilihan raya sebelumnya. Sokongan mereka meningkat dari anggaran 91 peratus pada PRU14 kepada 95 peratus pada PRU15 di Semenanjung Malaysia. Namun, harus diingat, dari segi bilangan, pengundi Cina yang keluar mengundi adalah lebih rendah dalam PRU15 berbanding PRU14.
Sokongan dalam PRU15 adalah lebih tinggi dari PRN di Melaka (2021) dan Johor (2022), yang masing-masing mencatat anggaran 90 peratus dan 79 peratus, menguatkan lagi dinamik peralihan sokongan terhadap PH – trend yang dilihat lebih hebat berlaku di Borneo, dan akan dibincangkan dalam bahagian yang akan datang.
Sokongan pengundi Cina boleh diibaratkan sebagai ‘satu kutub’ dalam pembahagian etnik di negara ini. Ia merupakan teras kekuatan politik buat PH, memandangkan gabungan ini meraih sokongan paling kuat dari orang Cina berbanding kaum lain.
Berbeza dengan gabungan lain, sokongan diraih PH merentasi kaum berbeza, meskipun pada tahap yang berbeza-beza.
Kurangnya sokongan Cina merupakan kelemahan gabungan lain. Baik BN mahupun PN, mereka harus bermuhasabah diri tentang mengapa mereka menerima sokongan rentas kaum yang terbatas. Untuk Umno/BN pula, impak korupsi, dasar berat sebelah dan hakikat yang ia tidak lagi menjadi gabungan pelbagai kaum telah lama dibicarakan.
Impak Umno dalam ketidakstabilan politik untuk empat tahun kebelakangan ini serta kepemimpinan Zahid Hamidi dalam kempen PRU15 turut membuatkan hati pengundi Cina tawar.
Bagi PN pula, selaku gabungan yang secara relatifnya baru, retorik perkauman dan agama yang bersifat meminggir dan serangan demi serangan ke atas amalan budaya dan agama, individu serta institusi orang Cina telah meninggalkan kesan mendalam. Naratif politik PN membayangkan Malaysia tanpa orang Cina, di mana mereka bukan sahaja mahu disingkirkan, bahkan menjadi sasaran dalam usaha gabungan itu meraih kuasa.
Seperti masyarakat lain, pengundi Cina memberi sokongan kepada pihak yang dirasakan menghormati mereka. Mereka mengundi pihak yang dirasakan dapat merealisasikan aspirasi mereka sebagai sebagai sebahagian dari negara ini serta harapan untuk masa depan mereka dan anak-anak mereka.
PN masih belum sedar yang mereka tidak boleh menang dengan retorik dan pendekatan politik yang memecah-belahkan dan meminggirkan sebahagian besar pengundi.
Variasi sokongan pengundi Cina
Jika melihat sejarah, kaum Cina memang paling kerap beralih sokongan, mengambil risiko dan menghukum wakil rakyat yang mempunyai prestasi buruk dalam politik. Fenomena terakhir itu paling jelas dalam PRN Sarawak 2021 dan dibalikkan pula pada PRU15, dan akan dibincangkan dalam artikel yang seterusnya.
Namun, dalam PRU14 dan PRU15, sokongan pengundi Cina kekal stabil buat PH; gara-gara seruan yang jelas ke arah keterangkuman, tadbir urus lebih baik dan ekonomi yang lebih kukuh. Janji kestabilan politik oleh PN pula tidak diterima baik pengundi Cina memandangkan retoriknya yang merosakkan keharmonian sosial serta mengancam tempat mereka di Malaysia.
Melihat undian etnik mengikut negeri memberikan pemahaman mengenai corak sokongan Cina yang berubah-ubah. Peningkatan sokongan Cina kepada BN pada PRN Johor 2022 adalah untuk menghukum PH – yang ketika itu diterajui Dr Mahathir Mohamad – atas pengurusan ekonomi yang lemah pada 2018-2020, serta sebagai penghargaan buat kepemimpinan Umno Johor ketika itu, Hasni Mohammad, yang kemudiannya disingkir dari jawatan menteri besar meskipun memimpin Umno/BN dalam PRN.
Dapatan tentang sokongan mengikut negeri diperincikan di bawah. Ia menunjukkan sokongan pengundi Cina buat Umno/BN merosot lebih separuh di Johor, dari anggaran 13 peratus pada PRN 2022 kepada hanya 6 peratus pada PRU15 kurang enam bulan kemudian.
Peratus sokongan terbesar pengundi Cina buat Umno/BN adalah di Terengganu, namun ini sebahagiannya dipengaruhi bilangan pengundi Cina yang sedikit di sana, lalu menyumbangkan nilai peratusan yang lebih tinggi. Ia juga kerana PH agak lemah di negeri berkenaan.
Tahap sokongan Cina yang minimal kepada PAS/PN pada PRU15 di negeri-negeri yang ditadbir mereka – Kelantan dengan anggaran empat peratus, Terengganu satu peratus dan Kedah kosong peratus – adalah tanda penolakan orang Cina terhadap kerajaan PAS/PN serta kempen-kempen mereka.
Dapatan untuk MCA pula amatlah menyedihkan. Dapatan di pelbagai negeri menunjukkan MCA telah lama hilang tapak sokongan di negeri-negeri seperti Perak, Johor dan Pahang.
Sokongan orang Cina yang sangat rendah di negeri-negeri ini adalah isyarat MCA sudah hilang tempat dalam politik tanah air dan hanya bergantung kepada Umno. Kelemahan Umno dan kejatuhannya dalam PRU15 turut menjadi kejatuhan rakan-rakan kongsinya dalam BN.
Prestasi MCA dalam PRU15 adalah paling buruk sejak 1986. Ia masih belum pulih dari kehilangan besar-besaran sokongan Cina semasa PRU2008 dahulu. Hanya presidennya, Wee Ka Siong dan Wee Jeck Seng yang menang, iaitu di kerusi Parlimen Ayer Hitam dan Tanjung Piai, itupun dengan margin lebih rendah. MCA sudah pun berada di pinggir tebing politik.
Kesan polarisasi pengundi Cina yang lebih besar
Dalam menilai sokongan pengundi Cina pada PRU15, penting untuk melihat kepada kedua-dua faktor penurunan kadar keluar mengundi sebanyak 14 peratus (bukanlah angka yang tidak signifikan) serta peralihan sokongan kepada PH pada kadar anggaran sederhana iaitu empat peratus.
Penurunan kadar keluar mengundi menandakan pengundi Cina tidak berpuas hati dengan pilihan politik yang ada.
Kegagalan PH di bawah Mahathir untuk memberikan respons sewajarnya terhadap kebimbangan perniagaan kecil Cina dan menangani isu berhubung hal-hal seperti pendidikan dan perlindungan hak beragama dan budaya yang berlanjutan sekian lama, masih kekal. Trend pengundi yang tidak mahu lagi terlibat dalam politik masih tetap ada. Hal ini ketara terutamanya dalam PRN apabila semakin ramai pengundi luar tidak mahu pulang mengundi.
Di kerusi-kerusi spesifik di mana sokongan Cina memainkan peranan penting, ia kembali kepada persaingan sengit dan pertempuran tradisi melibatkan DAP dan parti lain, terutamanya MCA. Ada tiga kerusi ditandingi DAP yang dapat memberikan gambaran berkenaan hal ini: Bentong, Raub dan Ayer Hitam. Di Bentong dan Raub, sokongan tinggi pengundi Cina menentukan kejayaan DAP. Kadar keluar mengundi yang menurun serta sokongan Cina yang sedikit lebih rendah buat calon PH di Ayer Hitam pula mengukuhkan kemenangan MCA.
Pun begitu, di semua kerusi ini, sebilangan kecil minoriti India juga memainkan peranan penting dalam menaikkan calon DAP di Bentong dan Raub, yang menyaksikan kemenangan diraih dengan margin lebih tipis.
Keperluan bagi mana-mana parti atau gabungan mendapat sokongan bukan Melayu untuk menang menjadi faktor penting dalam menentukan keputusan pilihan raya apabila corak polarisasi pengundi mengikut etnik - Melayu menyokong PN - telah merebak luas ke seluruh negara.
Dengan polarisasi etnik berlaku di saat tiga gabungan cuba merebut undi, persaingan pun menjadi sangat sengit dan maka setiap undi menjadi penting.
Memandang ke hadapan
PH mempunyai kebergantungan yang agak jelas kepada sokogan pengundi Cina, dan ini bukan sahaja di kerusi yang dibincangkan di atas. Pada PRU15, pengundi Cina menjadi asas sokongan terbesar buat PH.
Sejarah menunjukkan yang orang Cina mahu melihat hasil. Mereka mahukan prestasi yang baik dan akan menghukum sesiapa pun yang berkuasa jika mereka tidak dapat membuat kerja dengan baik.
Apa yang disampaikan kepada mereka dan bagaimana layanan terhadap parti yang paling disokong mereka, iaitu DAP -semua ini diteliti dengan mendalam oleh mereka.
Apa yang penting, lebih ramai orang Cina tidak mahu lagi terlibat dalam lanskap politik. Mereka berasa tidak berdaya untuk mengubah politik yang cuba menyingkir tempat mereka di Malaysia dan yang bermain dengan naratif yang mengguris hati mereka.
Polarisasi politik nasional terhasil dari gerakan politik yang memecahbelahkan dan mencetuskan perpecahan, dari peraturan berpakaian yang dikenakan ke atas kumpulan minoriti, hinggalah ke insiden-insiden lain yang menjadikan mereka sebagai sasaran.
Penarikan diri dari politik dan rasa tidak puas hati, meskipun dalam diam, adalah kuat dan dapat dirasakan di lapangan. Polarisasi etnik menunjukkan ada api yang membakar dalam diam, tentang bagaimana masyarakat ini dilayan dan diperlakukan.
Pada masa sama, tersimpan harapan kecil di lubuk hati: untuk menjadi satu negara yang lebih kuat buat semua warga. Buat masa ini, seperti disahkan dapatan kajian, sokongan hebat pengundi Cina dan harapan mereka disandarkan kepada PH dan kerajaan Anwar Ibrahim.
Tindak-tanduk PN telah menjadikan gabungan itu bukan pilihan buat majoriti pengundi Cina. Tindak-tanduk Umno/BN/MCA juga boleh dikatakan sama sahaja dalam PRU15. Adakah perkara ini akan berubah dalam PRN yang akan datang? Kita tunggu dan lihat.
Corak sokongan pengundi Cina pada PRU15 menunjukkan kejelasan dan kesepakatan dalam mengundi. Undi mereka menjadi bernilai dan penting apabila mereka berada dalam kesepakatan dalam sokongan yang diberikan. Mereka berharap untuk dilayan sebagai rakyat yang benar-benar dipandang penting.
ULASAN | Analisis undian etnik PRU15 – Bahagian 1
ULASAN | Analisis undian etnik PRU15 – Bahagian 2: Siapa keluar mengundi?
ULASAN | Analisis undian etnik PRU15 – Bahagian 3: Kuasa undi kaum India
BRIDGET WELSH ialah Penyelidik Kehormat Institut Kajian Asia Malaysia (Unari) Universiti Nottingham. Dia juga penyelidik kanan di Hu Fu Centre for East Asia Democratic Studies dan felo kanan di The Habibie Centre. Penulisannya boleh didapati di bridgetwelsh.com. Ikuti siri podcastnya, Kerusi Panas.
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai