ULASAN | Sisih politik kepartian dari masjid, surau Ramadan ini
ULASAN | Demi melontarkan kemarahan kerana Muhyiddin Yassin didakwa di mahkamah, ada orang yang kononnya agamawan sanggup mendoakan kehancuran PH kerana didakwa zalim.
Ustaz yang mengimamkan solat hajat juga mendoakan Anwar Ibrahim, PKR dan Amanah ditimpa bencana. Ia diaminkan beramai-ramai sebelum diikuti dengan laungan takbir.
Gelagat mereka tersebar di media sosial dan segera menarik perhatian ramai ketika negara sejak kebelakangan ini heboh dengan telatah orang politik memperalatkan masjid untuk kepentingan politik kepartian.
Ini bukan cerita baru. Orang politik memperalat agama berlaku sekian lama. Misalnya ketika peristiwa berdarah di Lubuk Merbau pada awal dekad 1980-an serta tragedi Memali.
Semuanya gara-gara ada amanat yang kononnya menghalalkan perseteruan sesama saudara seagama atas hujah mereka mempertahankan perlembagaan sekular.
Selangor dan beberapa negeri lain sudah bertegas melarang orang politik berceramah dan bertazkirah di masjid. Tauliah mengajar hanya dikeluarkan untuk ustaz sebenar serta meyakinkan faham dominan keagamaannya, bukan ulama jadi-jadian yang kadang-kadang lebih kerap menjadi pelawak di masjid.
Bukan akhirat semata-mata
Sebelum ini ada masjid kerap mengundang penceramah politik memberikan tazkirah dengan mengambil peluang kedatangan Ramadan.
Natijah kehadiran mereka ialah tercetusnya suasana tidak selesa dalam kalangan jemaah yang mengerjakan ibadat tarawih.
Pihak berkuasa agama di peringkat negeri memahami bahawa keharmonian hidup bermasyarakat tidak wajar sama sekali dicemari oleh ulama jadi-jadian.
Benarlah kata Hamka bahawa sesetengah orang Islam tidak semestinya beragama kerana perbuatan dan amalan mereka kerapnya bertentangan dengan arahan Allah.
Menerusi tiga buku yang terkenal Hamka - Peribadi, Tasawuf Modern dan Lembaga Budi - dia menegur umat Islam yang gagal membezakan antara agama, politik dan adat, sehingga unsur yang bertentangan dianggap sebagai ibadat.
Salah faham terhadap Islam menyebabkan umat tertinggal dalam pelbagai sektor kehidupan kerana ada yang menganggap agama untuk akhirat semata-mata.
Lebih malang, dalam usaha menuju ke ‘syurga’ yang dicipta oleh sesetengah 'orang alim' itu, berlaku perbuatan kafir-mengkafir apabila ada individu yang mendakwa orang tidak tahu berbahasa Arab, tidak berjubah dan berjanggut sebagai tidak beriman serta gagal menurut sunah Rasul.
Di Malaysia isu kafir-mengkafir wujud sejak dekad 1960-an apabila perdebatan isu agama dikaitkan dengan siasah secara songsang. Revolusi Islam Iran pada 1978 pula mendorong sesetengah pentaasub mengidamkan perjuangan secara revolusi.
Imej Ayatollah Khomeini digunakan sebagai simbol 'kekuatan Islam' sedangkan situasi di Iran jauh berbeza berbanding Malaysia.
Banyak juga negara Islam terutamanya Arab yang terpegun dengan gerakan yang menyingkirkan sistem beraja bagi digantikan dengan negara republik.
Takut kena tekan
Perdana menteri atau presiden dibentuk menerusi proses pilihan raya yang kononnya lebih demokratik.
Apa yang berlaku kemudiannya ialah negara berkenaan bukan sahaja tidak aman bahkan dicengkam oleh diktator yang lebih zalim daripada raja.
Akhirnya berlaku rampasan kuasa oleh tentera, dan kesannya - seperti kita maklum - banyak negara Arab gagal maju, kekal miskin dan bergantung kepada kuasa besar dunia terutama AS.
Lebih malang ada orang menganggap golongan radikal seperti Taliban dan Daesh sebagai wira yang menegakkan Islam. Penentang mereka pula terpaksa mengundang campur tangan Washington atas alasan keselamatan serantau.
Ada juga ustaz dari Malaysia yang beria-ia menjadikan Taliban sebagai model dan mencadangkan hubungan kerjasama lebih erat.
Hari ini AS amat berkuasa di Asia Barat sehinggakan negara Islam berkenaan tidak mampu bersuara waima dalam isu Palestin kerana takut ditekan pelobi Yahudi di Rumah Putih.
Banyak pemimpin Islam tidak berani bersuara dalam isu yang melibatkan kepentingan Islam kerana bimbang tidak mendapat bantuan ekonomi dan ketenteraan ketika menghadapi ancaman kuasa asing.
Jumlah penduduk dunia kini dianggarkan seramai lapan bilion. Penganut Kristian berjumlah 2 bilion manakala Islam 1.5 bilion. Namun kuasa Kristian dan Yahudi menguasai pelbagai sektor kehidupan moden.
Negara Islam - termasuk Mesir yang mempunyai antara universiti tertua di dunia - bukan pusat tamadun dan pembangunan sejagat ketika ini.
Indonesia dengan 300 juta penganut Islam berdepan pelbagai isu ekonomi dan sosial.
Di negara kita pula salah faham terhadap agama banyak didorong oleh golongan yang mendakwa mereka lebih alim daripada pihak lain dan memonopoli makna baik dan jahat, syurga dan neraka, salah dan betul, terpuji atau terkutuk, dan seumpama dengannya.
Mereka bukan sahaja mempengaruhi sesetengah institusi agama malah aktif menyebarkan fahaman berkenaan menerusi pertubuhan siasah, badan kebajikan dan persatuan sosial.
Menerusi kuasa politik yang tidak seberapa, mereka memperalatkan masjid, surau dan madrasah dengan citra yang sebenarnya tidak berlandaskan Islam.
Memang benar masjid pernah dipergunakan. Tindakan Sultan Selangor yang tegas wajar dipuji. Pihak jabatan agama juga wajar memantau pengurusan masjid dan surau kerana kadang-kadang merekalah menjadi dalang yang membawa orang politik berceramah serta bertazkirah.
Izinkan Ramadan tahun ini berlangsung dengan lebih aman dan bebas daripada gangguan siasah bingit lagi merimaskan.
IMLAN ADABI ialah mantan wartawan Berita Harian dan penulis yang tiada kluster mahupun kasta.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai