Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tindakan tegas terhadap pihak 'petik' nama PMO

Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang secara sengaja menyalahgunakan nama atau kedudukan Pejabat Perdana Menteri (PMO) bagi tujuan tertentu.

Tindakan sedemikian, kata PMO adalah amat tidak bertanggungjawab sekali gus memberi dampak negatif kepada kredibiliti Pejabat Perdana Menteri dan institusi Kerajaan.

“Justeru, pihak Pejabat Perdana Menteri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut termasuk melibatkan sudut perundangan terhadap pihak yang terlibat dengan perkara sedemikian,” katanya pada kenyataan hari ini.

Kenyataan PMO itu dibuat selepas Presiden MCA Wee Ka Siong mendakwa Deepak Jaikishan telah menghubunginya semalam untuk meminta dia membetulkan kenyataannya berhubung pengimportan telur dari India.

Wee, di Dewan Rakyat hari ini, mendakwa ahli perniagaan kontroversi itu telah memetik nama PMO dan terus memintanya mengemukakan kenyataan berhubung perkara itu.

Deepak sejak itu menafikan menghubungi Wee, serta menafikan sebarang hubungan dengan J&E Advanced Tech Sdn Bhd - syarikat tunggal yang dibenarkan Putrajaya mengimport telur dari India semasa kekurangan bekalan tempatan.