Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Syarikat sarung tangan akui tak bayar gaji, salahkan pengurusan lama

Pada bulan lalu, dua puluh pekerja warga Bangladesh syarikat pembuat sarung tangan SSN Medical Products Sdn Bhd berhenti kerja dan melarikan diri dari majikan ekoran dakwaan bekerja di bawah keadaan buruh paksa.

Kini syarikat itu tampil membuat pengakuan bahawa ada masalah gaji tertunggak sejak 2019 dan telah merangka penyelesaian untuk para pekerjanya.

Menjelaskan syarikat mewarisi hutang daripada pengurusan sebelumnya, Pengarah SSN Medical Products Clinton Ang berkata syarikatnya menyasarkan untuk menyelesaikan tunggakan gaji dalam tempoh tiga bulan.

"Kami mengambil serius tanggungjawab terhadap pekerja kami, sama ada warga tempatan atau asing, pengurusan atau pengeluaran.

"Kami memerlukan tempoh beberapa bulan untuk menganani semua isu berkaitan gaji tetapi kami ada pelan realistik untuk menyelesaikannya secepat mungkin," kata Ang yang memegang 53 peratus saham syarikat.

Menganggotai Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (Margma) sejak 2016, Ang turut mengakui lewat membayar gaji bulanan kerana syarikatnya sedang berdepan kesukaran.

"Dalam memorandum berkenaan tunggakan gaji yang ditandatangani wakil pekerja dan pengurusan pada 27 Disember lalu, syarikat telah patuh pada apa yang dipersetujui.

"Setakat 22 Februari, syarikat telah membayar gaji Januari kepada semua pekerja dan kami akan membayar gaji untuk Februari pada bulan ini," kata Ang.

Katanya, antara yang belum mendapat gaji adalah mereka yang sudah lama bekerja dengan syarikat itu, yang memahami masalah kewangannya.

Amalan buruh yang teruk

Selain gaji tak berbayar, SSN Medical Products juga sedang merangka untuk melangsaikan penyelesaian tunggakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan bayaran kerja lebih masa.

Ang menyalahkan pengurusan sebelumnya atas amalan buruh yang teruk seperti memotong bayaran gaji untuk seragam dan tempat tinggal pekerja.

"Gaji tak berbayar selama dua bulan sejak 2019 akan dibayar kepada pekerja secara enam peringkat, dan separuhnya sudah dilangsaikan.

"Kiraan kerja lebih masa kami berbeza dengan apa yang dinyatakan pekerja kerana kakitangan sumber manusia sebelum ini menggunakan formula salah, dengan kenaikan 20 peratus bayaran untuk pekerja.

"Kita telah jelaskan percanggahan ini dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan sedang membuat perancangan untuk menyelesaikannya dengan pekerja terlibat," katanya lagi.

Syarikat pembuat sarung tangan lateks dan kondom yang mendakwa telah diaudit juruaudit rantaian bekalan antarabangsa Sedex, berkata demikian ketika mengulas laporan Malaysiakini bertajuk "Syarikat pembuat sarung tangan didakwa 'buruh paksa', tak bayar gaji pekerja".

Laporan bertarikh 9 Mac itu mendedahkan syarikat didakwa tidak membayar tuggakan gaji pekerja yang berhenti sebaliknya menggantikan mereka dengan pekerja kontrak warga Myanmar.

Menurut wakil pekerja tersebut, enam daripada mereka adalah pekerja yang telah merayu untuk dihantar pulang selepas gagal dalam ujian kesihatan mereka tahun lalu - tetapi rayuan mereka tidak didengar.

Tunggakan bayaran kerja lebih masa sehingga RM270,000

Mengakui mengambil enam pekerja Myanmar menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK), Ang berkata dia perlu menggantikan pekerja itu dengan segera bagi memastikan pengeluaran tidak terus terganggu.

"Kami juga sedang menyelesaikan permit kerja mereka, dan juga permit pekerja sedia ada. Itulah sebabnya mereka tidak pegang pasport sendiri.

"Tetapi selain seorang pekerja yang dihantar pulang, tiada pekerja lain yang meminta perkara sama," katanya lagi.

Aduan pekerja di JTK pada 8 Februari lalu menyenaraikan masalah seperti gaji dan bayaran kerja lebih masa pada 2019 yang tidak dibayar, bayaran kerja lebih masa tak berbayar sejak Jun hingga Disember 2022 dan bayaran kerja lebih masa tak berbayar untuk Januari tahun ini.

Tuntutan terbesar mereka melibatkan bayaran kerja lebih masa tak berbayar selama tujuh bulan pada 2022 untuk 70 pekerja dengan jumlah lebih RM270,000.

Mereka juga mendakwa perlu membuat bayaran tahunan untuk seragam dan potongan RM50 sebulan untuk tempat tinggal yang sesak.

Senarai aduan pekerja menunjukkan mereka tidak diberikan slip gaji, ekoran pembayaran yang tidak tetap yang dibuat secara tunai dan pemindahan akaun bank.

Pekerja juga mendakwa syarikat tidak membuat sebarang caruman kepada Perkeso.

Susulan aduan ini, JTK Selangor menjalankan siasatan serta bersama-sama Perkeso ke kilang pada 28 Februari lalu.

Penolong Pengarah Kanan JTK (JTK) Selangor, Muhammad Rifaee Muhamad Saleh berkata pihaknya mendapati syarikat gagal membayar gaji dan bayaran lebih masa, serta membuat potongan gaji yang menyalahi undang-undang.

Menurut laporan Utusan Malaysia, Rifaee berkata syarikat itu disiasat mengikut Akta Kerja 1955, Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 atas dakwaan tidak membuat caruman Perkeso selama beberapa tahun.

SSN Medical Products juga disiasat di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 kerana tempat tinggal pekerja didapati tidak dalam keadaan wajar.

[Baca berita asal]