Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

'Pelik, ramai menteri dan MP pernah sertai demo Hari Wanita kini diam'

PARLIMEN | Bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Abdul Rahman menyeru ahli parlimen PH untuk bersuara membantah siasatan terhadap perarakan sambutan Hari Wanita 2023.

“Perkara pertama yang perlu diakui ialah Perarakan Wanita telah berlangsung selama beberapa tahun tanpa mengira siapapun dalam kerajaan. Dan tuntutan perarakan adalah untuk kesaksamaan wanita - sesuatu yang saya percaya ramai rakyat Malaysia akan menyokongnya.

“Tetapi apa yang saya pelik ialah dalam kerajaan ini, terdapat ramai menteri, timbalan menteri dan ahli parlimen yang kini berada dalam eksekutif yang pernah menyertai dan membantah penindasan perarakan tersebut.

“Mereka sendiri pernah menjadi mangsa siasatan polis apabila melibatkan siasatan pihak berkuasa terhadap demonstrasi aman.

Gambar fail, perarakan Hari Wanita 2019.

"Sungguh pelik bahawa mereka yang menyokong dan menyertai perarakan itu kini diam dan apabila memegang kuasa kini mereka membenarkan penganjur semasa disiasat dan diambil tindakan," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di parlimen hari ini.

Dalam menggesa reformasi Akta Perhimpunan Aman, Syed Saddiq mengingatkan bahawa ahli parlimen PH juga pernah disiasat kerana perhimpunan aman di luar parlimen.

"Ini adalah pembaharuan asas, yang mesti kita lakukan demi kepentingan rakyat," katanya.

Malaysiakini difahamkan bahawa penganjur dan peserta Perarakan Wanita yang berlangsung dalam suasana perkelahan pada tahun lepas tidak disiasat. Ini di bawah pentadbiran perdana menteri Ismail Sabri Yaakob.

Malaysiakini melaporkan tahun lalu bahawa polis hadir di tempat kejadian selepas protes dan meminta butiran daripada penganjur untuk tujuan membuat laporan. Bagaimanapun tiada tindakan diambil.

Begitu juga dengan perarakan pada tahun ini, Wanita Mac 2023 menyaksikan 300 peserta berkumpul di hadapan pusat beli-belah Sogo sebelum berarak ke Dataran Merdeka.

Ketika dihubungi, penganjur dari Women’s March 2023 mengesahkan bahawa siasatan telah dibuat terhadap penganjur perarakan 2020, ketika era pentadbiran Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, perarakan tahun 2019 disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 apabila kehadiran aktivis LGBT dan tuntutan yang disuarakan mereka mendapat kecaman pelbagai pihak, termasuk dalam kalangan ahli politik kerajaan serta pembangkang.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid hari ini melabelkan siasatan terhadap penganjur tahun ini sebagai "mengecewakan".

“Adalah mengecewakan bahawa pihak berkuasa telah melakukan perkara ini. Tetapi saya harap mereka yang terlibat diberi akses (keadilan) dan dilayan dengan adil dan hormat.

"Terdapat banyak persoalan mengapa tindakan ini diambil," katanya kepada Malaysiakini.

Syerleena (gambar, bawah) mengakui bahawa beberapa pembaharuan perlu diambil berkaitan dengan demonstrasi aman.

Dalam pada itu, bagaimanapun, dia menggalakkan rakyat Malaysia untuk meneruskan perbincangan dan memperjuangkan keadilan.

“Saya menggalakkan rakyat Malaysia bercakap mengenainya, jangan serahkan sahaja kepada pemimpin masyarakat dan ahli politik.

"Orang ramai, rakyat Malaysia perlu bercakap mengenainya," katanya.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh memberitahu Malaysiakini bahawa dia akan berhubung dengan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution dan kabinet berhubung siasatan itu sebelum memberikan komen.

Pada Ahad lalu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya berkata kertas siasatan telah dibuka berhubung perarakan itu.

Perhimpunan yang diadakan di hadapan Kompleks Sogo dan Dataran Merdeka itu disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Kesalahan Kecil 1955, tambahnya.

Sehingga hari ini, polis memanggil tujuh orang terdiri daripada peserta, penceramah, penganjur dan pemerhati perarakan untuk disoal siasat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 2.30 petang, semalam.

Susulan itu, penganjur perarakan itu mengecam siasatan polis terhadap mereka yang terlibat dalam perhimpunan aman itu.

OCPD Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya.

Penganjur juga melahirkan rasa kecewa akan dihukum kerana menggunakan hak demokrasi mereka untuk memperjuangkan Malaysia yang lebih baik.

Menurut kenyataan jawatankuasa penganjur sebelum ini, perarakan itu antara lain menuntut perkahwinan kanak-kanak diharamkan, kerajaan melindungi autonomi badan dan kebebasan memilih, serta menggubal reformasi perlembagaan dan perundangan untuk mencapai kesaksamaan jantina.

Ia juga menyeru penglibatan politik yang sama bagi jantina yang tertindas di semua peringkat tadbir urus dan untuk memastikan taraf kerja dan gaji sara hidup yang lebih baik.

Kehadiran dan dakwaan perlambangan kumpulan LGBT pada perarakan itu mencetuskan kemarahan pemimpin dan penyokong Perikatan Nasional (PN).

Beberapa akaun TikTok yang kelihatan pro-PN menuduh kerajaan berpihak kepada komuniti LGBT.

Ahli parlimen PN sebaliknya menyifatkan ia sebagai perhimpunan haram LGBT dan menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab terhadap kebangkitan kumpulan tersebut.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Agama Na'im Mokhtar mengarahkan Jabatan Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membantu polis dalam siasatan berhubung perhimpunan dan perarakan sempena Hari Wanita yang berlangsung pada Ahad.

Na'im berkata, Jawi tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti yang ditetapkan dalam undang-undang.