Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tiada lagi pertindihan program: KBS serah pada kementerian berkaitan

PARLIMEN | Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata kementeriannya tidak akan lagi menjalankan sebarang program yang berpotensi bertindih dengan kementerian atau agensi kerajaan sedia ada.

Ini selepas dia dituduh "Kristian Evengelist" kerana 'Projek Artikel 11' yang dikendalikan oleh Impact Malaysia di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

“Saya dengar ada yang kata, lebih baik kalau program seperti ini diserahkan balik kepada Kementerian Perpaduan. Saya juga tahu program seperti ini ada dilaksanakan oleh kementerian perpaduan.

“Jadi untuk mengelakkan perkara ini dimainkan kali kedua dalam tempat ini atau media sosial, telah beritahu kepada semua agensi KBS bahawa kalau sudah wujud kementerian di luar sana yang mempunyai pengkhususan seperti Kementerian Keusahawanan, program itu kita jangan buat lagi,” katanya ketika berucap di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, memandangkan wujudnya Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Kementerian Perpaduan, mereka akan membenarkan kementerian berkenaan menjalankan program yang berkaitan untuk golongan belia pada masa hadapan.

Walaupun langkah ini nampaknya sebagai reaksi terhadap dakwaan 'evangelis' terhadap Kementerian Belia dan Sukan, masalah pertindihan tanggungjawab di kalangan kementerian telah menjadi isu lama.

Sebagai contoh, program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) adalah di bawah bidang kuasa beberapa kementerian yang berbeza.

Bekas menteri sumber manusia M Kula Segaran bulan lepas mencadangkan semua program berkaitan TVET diletakkan di bawah satu kementerian untuk penyelarasan yang lebih baik dan dasar yang lebih diperkemas.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada tahun lepas berkata kerajaan sedang berusaha untuk mengurangkan pertindihan program antara agensi dan badan kerajaan dalam usaha mengurangkan kos.