Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kes pecah amanah RM1.12 juta Syed Saddiq, pembelaan tutup kes

Pasukan pembelaan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini menutup kes dalam perbicaraan jenayah bekas menteri belia dan sukan itu yang dikaitkan dengan pecah amanah RM1.12 juta dana Bersatu.

Peguam bela Gobind Singh Deo memaklumkan kepada mahkamah, pihaknya menutup kes pembelaan selepas mahkamah selesai mendengar keterangan saksi keempat, bekas setiausaha peribadi Syed Saddiq, Siti Nurul Hidayah.

Hakim Azhar Abdul Hamid kemudian menetapkan 10 dan 11 April ini untuk mendengar hujahan di akhir kes pembelaan dan memerintahkan hujahan bertulis difailkan sebelum 3 April ini.

Semasa peringkat pembelaan yang bermula pada 22 Februari lalu, Syed Saddiq memberi keterangan bahawa dia didakwa kerana enggan menyokong presiden Bersatu dan perdana menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin.

Manakala pada peringkat pendakwaan tahun lalu, ibubapanya, Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz dan Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff, memberi keterangan bahawa anak mereka berada dalam tekanan untuk menyokong Muhyiddin. Selepas meninggalkan Bersatu, Syed Saddiq mengasaskan Muda.

Pada 28 Okt tahun lalu, Azhar memerintahkan bekas menteri itu membela diri atas satu pertuduhan bersubahat dalam pecah amanah jenayah (CBT), satu pertuduhan penyelewengan aset dan dua pertuduhan pengubahan wang haram.

Terdahulu pada 27 Sept tahun lepas, pasukan pendakwaan yang diketuai oleh timbalan ketua pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, menutup kesnya selepas memanggil 30 saksi dalam perbicaraan yang bermula pada 21 Mei 2022.

Selain ibu bapa Syed Saddiq, antara saksi pendakwaan ialah Rafiq Hakim, yang adalah bekas penolong bendahari Pemuda Bersatu, serta pegawai penyiasat SPRM Nurul Hidayah Kamarudin, Syahmeizy Sulong dan Asbi Munip.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan pasukan pembelaan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang berdepan empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram, menutup kesnya hari ini selepas memanggil empat saksi untuk memberi keterangan.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menetapkan 10 dan 11 April ini untuk mendengar hujahan lisan daripada kedua-dua pihak selepas peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Syed Saddiq, memaklumkan bahawa pembelaan menutup kesnya.

Hakim itu turut menetapkan sebelum atau pada 3 April ini untuk pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan bertulis.

Pada 28 Okt tahun lepas, Syed Saddiq, 30, diperintahkan membela diri atas empat pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu memberi keterangan membela diri selama dua hari bermula 22 Feb lepas.

Turut memberi keterangan sebagai saksi pembelaan ialah bekas Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Ulya Aqamah Husamudin, bekas pegawai khas kepada Syed Saddiq, Mohamed Amshar Aziz dan bekas setiausaha peribadi kepada Syed Saddiq, Siti Nurul Hidayah.

Terdahulu, Siti Nurul Hidayah yang menyambung keterangannya berkata laporan polis yang dibuat berhubung dakwaan beliau dikasari dan diugut oleh pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika dipanggil memberi keterangan dalam siasatan terhadap Syed Saddiq pada 2020 adalah benar.

Menurut saksi pembelaan keempat itu, beliau juga pernah berjumpa dengan pegawai kanan SPRM dikenali sebagai Ihsan, yang memperkenalkan diri sebagai pegawai penyiasat dalam kes Syed Saddiq.

Syed Saddiq yang dipanggil semula untuk memberi keterangan turut membuat pengecaman ke atas Ihsan atau nama sebenarnya Mohd Ihsan Sapuan.

Semasa prosiding sebelum ini, Syed Saddiq dirujuk oleh peguam bela dengan transkrip rakaman audio yang didakwa mengandungi perbualan antara Syed Saddiq dengan Ihsan.

Dalam transkrip tersebut, Ihsan dikatakan cuba memujuk Syed Saddiq supaya menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerana bekas Perdana Menteri itu yang membawa beliau menyertai Bersatu, masih mengambil berat terhadapnya dan memaklumkan bahawa SPRM menjadi ‘alat' apabila berlaku pertukaran kerajaan.

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari Armada Bersatu Rafiq Hakim Razali, yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di Kuala Lumpur pada 6 Mac 2020.

Bekas Ketua Armada itu didakwa menyalah guna RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di Kuala Lumpur antara 8 dan 21 April 2018.

Beliau juga berhadapan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, dipercayai merupakan hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.