34 rumah mangsa kepala air Baling siap dibaik pulih
Sidang DUN Kedah hari ini diberitahu bahawa 34 daripada 50 rumah mangsa banjir akibat kejadian kepala air di Kampung Iboi dekat Baling tahun lepas, telah siap dibaik pulih.
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata kerja baik pulih bagi 16 rumah lagi dijangka selesai 16 Mac ini.
Sementara itu, bagi pembinaan rumah ganti baru yang membabitkan 12 unit rumah bagi fasa satu, dia berkata ia telah mencapai status pelaksanaan 43 peratus setakat 30 Jan lepas.
“Bagi fasa dua sebanyak 17 unit pembinaan rumah baru yang masih dalam proses pengambilan tanah oleh kerajaan negeri di Bukit Batu Kawi, Mukim Kupang (dekat) Baling.
"Peruntukan (bagi fasa satu dan dua itu) daripada kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan berjumlah RM3 juta," katanya ketika menjawab soalan Zamri Yusuf (PH-Suka Menanti) yang ingin tahu bilangan rumah yang akan dibaiki dan dibina ganti untuk mangsa banjir kepala air di Yan dan Kampung Iboi.
Muhammad Sanusi berkata 55 rumah mangsa di Yan yang dibaik pulih pula telah siap sepenuhnya dengan kesemua rumah itu sudah diduduki penduduk terlibat.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, Pengairan dan Saliran serta Tenaga negeri Mohamad Yusoff Zakaria berkata jumlah peruntukan diluluskan untuk Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Baling bagi fasa satu berjumlah RM15 juta.
"Kawasan-kawasan terlibat (dalam projek tebatan banjir itu) adalah tertumpu di kawasan Sungai Kupang," katanya menjawab soalan Abd Nasir Idris (PAS-Bayu) yang ingin tahu mengenai projek tebatan banjir di daerah Baling.
Mohamad Yusoff berkata projek itu dalam peringkat penyediaan reka bentuk akhir iaitu perunding telah dilantik dengan kontrak RM1.2 juta dan pembinaan dijangka bermula awal tahun depan.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai