Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Azalina: Sultan Johor murka k'jaan tarik balik rayuan kes Pulau Batu Puteh

Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar cukup murka dengan tindakan kerajaan sebelum ini yang menarik balik rayuan berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh, menurut

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.

Azalina berkata perkara itu dizahirkan Sultan Ibrahim dalam satu pertemuan yang berlangsung sebelum ini, yang turut disertai Menteri Luar, Zambry Kadir dan Menteri Pertahanan Mohamad Hasan.

"Kerajaan telah lepaskan hak rayuan kita. Apa yang berlaku tak sepatutnya berlaku, atas nasihat siapa pun tak patut berlaku.

"Pada pertemuan antara saya, Zambry dan Mohamad, Tuanku cukup murka dalam isu Pulau Batu Puteh," katanya dalam wawancara kepada media, hari ini.

Azalina Othman Said

Pada Mei 2018, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengumumkan Malaysia menarik diri secara rasmi dari permohonan rayuan keputusan melibatkan kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Singapura.

Pada 14 Disember lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata isu tuntutan Batu Puteh perlu dikaji semula supaya rundingan segera dan lebih bermakna dapat diadakan dengan Singapura.

Pada 8 Feb lalu pula, dia memaklumkan berkata Kertas Putih mengenai kes Pulau Batu Puteh akan dibentang di Parlimen.

Mengulas lanjut, Azalina berkata isu Pulau Batu Puteh merupakan soal kedaulatan yang sepatutnya dirujuk kepada kerajaan Johor.

"Malah, jika dirujuk Akta Laut, daratan beberapa kilometer di bawah laut itu milik kerajaan negeri, namun dalam kes ini kerajaan pusat (ketika itu) tidak merujuk kerajaan negeri mahupun Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong.

"Ini bukan hilang tanah atau hilang rumah, ini hilang kedaulatan...Sebagai orang Melayu dan anak Johor, saya marah (dengan keputusan ini)," katanya lagi.

Katanya lagi, Sultan Ibrahim juga telah menitahkan kerajaan untuk mencari jalan bagi menyelesaikan isu berkenaan.