Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Semakan sabitan SRC: Nasib Najib diketahui pada 31 Mac

Najib Razak akan mengetahui pada 31 Mac ini jika dia berjaya dalam semakan kehakiman di Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan sabitan dan hukumannya atas kesalahan rasuah SRC International bernilai RM42 juta.

Pasukan undang-undang bekas menteri kewangan itu dimaklumkan mahkamah negara paling tinggi mengenai tarikh keputusan berkenaan.

Peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee (gambar, bawah) mengesahkan tarikh penghakiman itu ketika dihubungi media.

Sebelum ini pada 28 Feb, lima hakim Mahkamah Persekutuan lima yang bersidang dan dipengerusikan oleh Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli, memaklumkan keputusan itu akan ditetapkan pada 31 Mac.

Mahkamah Persekutuan sebelum ini mendengar perbicaraan permohonan semakan oleh bekas perdana menteri itu berhubung sabitan kesalahannya atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya.

Hakim lain yang bersidang mendengar semakan ini ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Lam Kiat, Rhodzariah Bujang dan Nordin Hassan, serta Hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais.

Pada 23 Ogos tahun lepas, panel Mahkamah Persekutuan berasingan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan Najib untuk membatalkan sabitannya serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes rasuah.

Selepas gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, Najib telah memohon sidang hakim Mahkamah Persekutuan sekarang untuk mendengar permohonan semakannya mengenai kes yang melibatkan satu sabitan penyalahgunaan kuasa, tiga sabitan jenayah pecah amanah dan tiga sabitan pengubahan wang haram.

Najib yang kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang, turut mencuba ikhtiar lain di luar badan kehakiman untuk membebaskan dirinya melalui petisyen pengampunan diraja serta petisyen kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atas penahanan sewenang-wenangnya.

Melalui permohonan semakan sekarang, Najib berpendapat terdapat konflik kepentingan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang menjatuhkan sabitan terhadap perbicaraan kes SRC International pada Julai 2020.

Hakim Nazlan telah dinaikkan pangkat dari Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Rayuan.

Najib mendakwa, antara lain hakim Nazlan tahu Maybank Investment (entiti Maybank Group) dan Binafikir (entiti lain dari Maybank Group) telah menasihatkan syarikat pelaburan negara 1MDB berkaitan urusan penubuhan SRC International.

Najib mendakwa bahawa konflik kepentingan timbul akibat peranan Nazlan sebagai penasihat umum kepada Maybank pada ketika itu.

Pada mulanya anak syarikat 1MDB, SRC dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Incorporated (MOF Inc). 1MDB juga dimiliki sepenuhnya oleh MOF Inc.

Permohonan semakan Najib juga mensasarkan tiga keputusan lain oleh sidang hakim Mahkamah Persekutuan sebelumn ini.

Keputusan itu berkaitan penolakan Mahkamah Persekutuan untuk Najib mengemukakan bukti tambahan dalam mengukuhkan tuduhan terhadap Nazlan; menolak permohonan Najib untuk menangguhkan pendengaran rayuan; dan menafikan permohonannya untuk menggugurkan Tengku Maimun dalam mendengar rayuannya di Mahkamah Persekutuan atas dakwaan konflik kepentingan.

[Baca berita asal]