Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Muhyiddin tak akan tarik balik tuduhan terhadap Guan Eng

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin berkata, dia tidak akan menarik balik tuduhan bahawa Lim Guan Eng membatalkan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary semasa menjadi menteri kewangan.

Muhyiddin berkata, dia mempunyai maklumat yang sahih berhubung dakwaan yang dibuatnya itu.

“Mengapa saya perlu menarik balik (tuduhan itu).

“Saya cabar dia untuk jelaskan apa sebenarnya (berlaku) sebab maklumat yang saya terima sahih,” katanya pada sidang media selepas ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu, di Menara PGRM, Kuala Lumpur, hari ini.

Khamis lalu, selepas selesai disiasat SPRM, Muhyiddin berkata dia akan didakwa atas tuduhan salah guna kuasa kerana memberikan semula pengecualian cukai yang diberikan kepada yayasan itu oleh pentadbiran BN.

Dia mendakwa pengecualian itu dibatalkan oleh Lim ketika Pakatan Harapan (PH) berkuasa pada 2018.

Lim menafikan dakwaan itu dan memberi tempoh kepada Muhyiddin sehingga Rabu untuk memohon maaf dan menarik balik dakwaannya.

Kegagalan berbuat demikian, kata Lim akan menyebabkan bekas perdana menteri itu bakal berdepan saman fitnah.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata dia tahu kenapa Lim bertindak sedemikian.

“Dia takut pembatalan (pengecualian cukai) itu semasa zamannya. Yayasan Al Bukhary adalah salah satu yayasan pimpinan Melayu terbesar yang telah menyumbangkan banyak perkara kepada ramai orang.

“Mereka (orang ramai) telah mendapat sumbangan daripada Yayasan Al Bukhari,” katanya.

Menurut Muhyiddin, sebagai menteri kewangan, perkara berkaitan cukai mesti melalui Lim dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga berada di bawah Kementerian Kewangan.

“Apa yang Lim Guan Eng boleh lakukan, bukannya mencabar saya, sebaliknya adalah memberi penjelasan,” katanya.

Terdahulu Lim mendakwa Muhyiddin berbohong dan mengatakan bekas perdana menteri itu tidak memberikan bukti bahawa dia bertanggungjawab membatalkan status pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.

Pada Jumaat lalu, Muhyiddin didakwa atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM232.5 juta.

Sebahagian daripada dana itu datang daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, yang dimiliki oleh Syed Mokhtar Bukhary.