Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Hamzah: Kertas pertuduhan Muhyiddin 'tak lengkap' bukti motif politik

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin mendakwa pihak pendakwaan gagal memberikan kertas pertuduhan lengkap untuk pendakwaan terhadap presiden parti, Muhyiddin Yassin pada Jumaat lalu.

Hamzah berkata ia membuktikan pendakwaan yang dibuat adalah langkah politik dengan matlamat menjejaskan imej Bersatu dan PN.

"Apabila diminta dokumen lengkap oleh para peguam bela kita, pihak mereka (pendakwaan) belum pun ada dokumen lengkap pertuduhan.

"Maknanya jelas, iaitu mereka hanya mahu melakukan pertuduhan politik bagi merosakkan imej Bersatu dan PN," katanya ketika berucap di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali ke-5 di Menara PGRM, Kuala Lumpur, hari ini.

Malaysiakini telah menghubungi pasukan pendakwaan, pasukan pembelaan Muhyiddin dan SPRM untuk mendapatkan maklum balas berkenaan dakwaan Hamzah.

Seorang pegawai kanan SPRM yang enggan dinamakan memberitahu Malaysiakini bahawa menurut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah, pertuduhan lengkap hanya diberikan selepas permohonan rasmi dibuat ketika pengurusan kes.

Dia menegaskan kertas siasatan adalah lengkap dan telah disemak dengan teliti oleh Peguam Negara Idrus Harun.

Jumaat lalu, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, atas enam pertuduhan, membabitkan empat kerana menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

Muhyiddin juga dijangka akan dihadapkan dengan sejumlah pertuduhan lagi esok.

Dia dan sejumlah pemimpin PN membayangkan dana itu merupakan sumbangan politik.

Sementara itu, Hamzah menggesa jentera PN agar bersiap sedia untuk berdepan PRN di enam negeri yang bakal diadakan.

Katanya, PRN itu akan menentukan survival PN dan juga kerajaan semasa.

PRN di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang yang ditadbir PH dan Kedah, Terengganu dan Kelantan yang ditadbir PN dijangka diadakan beberapa bulan lagi.

PH dan BN dijangka bekerjasama dalam PRN ini.

Laporan tambahan oleh Hariz Mohd