Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

'Pemulihan hubungan Iran-Arab Saudi dapat tingkat kestabilan serantau'

GLOBAL | Pegawai Iran menyambut baik perjanjian untuk menyambung semula hubungan diplomatik dengan Arab Saudi serta pembukaan semula kedutaan dan misi dalam tempoh dua bulan lagi.

Setiausaha Majlis Keselamatan Iran (SNSC) Ali Shamkhani berkata menyambung semula hubungan Tehran-Riyadh akan membawa kepada kestabilan dan keselamatan serantau.

"Menamatkan salah faham dan menuju ke arah masa depan hubungan Tehran-Riyadh pasti akan membawa kepada pembangunan kestabilan dan keselamatan serantau dan peningkatan kerjasama antara negara serantau serta dunia Islam untuk menguruskan cabaran sedia ada,” kata Shamkhani lapor Xinhua.

Dia berkata demikian selepas menandatangani kenyataan bersama tiga pihak antara Iran, Arab Saudi dan China di Beijing.

Shamkhani menyifatkan rundingan antara kedua-dua negara sebagai "terus terang, telus, komprehensif dan konstruktif".

Dia turut menghargai peranan konstruktif yang dimainkan China dalam menyokong usaha menyambung semula hubungan Tehran-Riyadh.

Menteri Luar Iran Hossein Amir-Abdollahian menerusi Twitter berkata pemulihan hubungan diplomatik antara Tehran dan Riyadh akan menyediakan kedua-dua pihak, rantau ini dan dunia Islam dengan "kapasiti besar".

Dia berkata dasar Iran untuk memperluas hubungan dengan jiran menjadi keutamaan dan negara ini sedang giat menuju ke arah itu.

Arab Saudi memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran pada awal 2016 sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas misi diplomatik Arab Saudi di Iran selepas kerajaan itu menghukum mati seorang ulama Syiah.

Untuk meningkatkan hubungan dua hala dan meredakan ketegangan serantau, Iraq menganjurkan empat pusingan rundingan langsung antara Iran dan Arab Saudi pada 2021 dan pusingan kelima pada April tahun lalu.

-Bernama