Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Takiyuddin: Kerajaan sekarang polisinya tiada polisi

PAS terus mengkritik Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail yang mengecualikan tindakan undang-undang terhadap Umno berhubung keputusan usul tambahan yang diluluskan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 berkaitan pemilihan jawatan presiden dan timbalan presiden parti itu.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata langkah kerajaan dalam perkara itu dilihat akan turut memberi kesan kepada parti-parti lain.

Menurutnya, semua parti akan menggunakan pendekatan yang sama sebagai contoh Fasal 9.3 Perlembagaan Umno menyatakan jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden dan majlis kerja tertinggi akan dipertandingkan setiap tiga tahun sekali.

"Tiba-tiba ada usul mengatakan dua jawatan (presiden dan timbalan presiden) tidak dipertandingkan. Ahli Umno sendiri rujuk perkara ini kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

"Jadi keluar satu surat dan kita tidak tahu surat itu betul atau tidak. Kita tanya kepada menteri, adakah betul surat yang dikatakan ROS ini yang menyatakan usul tambahan Umno tidak sah, bercanggah, bertentangan dengan Fasal 9.3 Perlembagaan Umno dan ROS arahkan supaya parti itu perbetulkan balik.

"Itu suratnya kalau surat itu betul, tiba-tiba menteri guna kuasa budi bicaranya kecualikan Umno daripada tertakluk kepada perkara itu.

"Kita tanya atas asas apa, dia tak jawab," katanya selepas perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kota Bharu Kali ke-56 di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) kepada Umno berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi pada pemilihan parti tahun ini.

Saifuddin Nasution pada satu kenyataan menjelaskan keputusan itu diberi mengikut Seksyen 70 Akta 832.

Sementara itu, Takiyuddin yang juga ahli parlimen Kota Bharu menyoal apa polisi sebenar kerajaan berhubung perkara berkenaan.

"Kita tanya menteri atas asas apa dan apa polisi serta pendekatan kerajaan.

"Kalau itu dibuat kepada umno mungkin boleh dibuat kepada parti lain. Inilah kehendak kami dan kami hendak tahu.

"Tapi kerajaan sekarang ini macam polisinya adalah tidak ada polisi," katanya.