Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Armada: Pendakwaan terpilih, Muhyiddin tak perlu letak jawatan

Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu akan membincangkan kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai presiden parti itu pada petang ini.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata perbincangan akan dibuat di Pusat Tarbiyah PAS, Taman Melewar, di Gombak.

"Setakat ini belum lagi (bincang jawatan presiden). Tetapi petang ini akan diadakan mesyuarat MPT selepas mesyuarat Pemuda Bersatu kira-kira pada 6.30 petang di Taman Melawar," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan di Perhimpunan Agung Tahunan Armada Bersatu kali ke-4, di Kuala Lumpur, hari ini.

Namun, Wan Fayhsal dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Pemuda Bersatu (Armada) menegaskan sayap itu kekal dengan pendirian bahawa Muhyiddin tidak perlu melepaskan jawatannya.

Dia mendakwa enam pertuduhan terhadap bekas perdana menteri itu bersifat pendakwaan terpilih.

"Kita mahu supaya Tan Sri Muhyiddin kekal dengan jawatan sebagai presiden Bersatu dan juga pengerusi PN sebab (pertuduhan terhadapnya) adalah pendakwaan terpilih," katanya.

Semalam, Muhyiddin dihadapkan dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

Isu peletakan jawatan timbul susulan Wan Saiful Wan Jan melepaskan kedudukannya sebagai ketua penerangan Bersatu setelah dihadapkan dengan pertuduhan rasuah pada akhir bulan lalu.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata keadaannya berbeza dengan Wan Saiful kerana dia merupakan presiden yang dipilih oleh parti.

Justeru, dia menyerahkan kepada MPT parti untuk menentukan sama ada dia perlu letak jawatan atau tidak.

‘Muhyiddin berbeza dengan Najib’

Dalam ucapannya, Wan Fayhsal turut memberi peringatan kepada 429 perwakilan yang hadir bahawa kes yang dihadapi Muhyiddin jelas berbeza dengan bekas perdana menteri Najib Razak yang kini dipenjarakan.

“Saya ingin ingatkan bahawa Tan Sri Muhyiddin bukan Najib Razak. Jauh sekali terlibat dalam skandal kewangan terbesar dunia seperti 1MDB.

"Orang Melayu lebih pandai menilai mata yang permata dan mana yang kaca,” kata ahli parlimen Machang itu.

“Saya percaya, seorang yang bernama Muhyiddin Yassin tidak akan mudah luntur semangat juangnya, walau badai setinggi gunung dan desakan maha hebat apa pun” katanya lagi.

Muhyiddin menjadi pemimpin Bersatu ketiga yang didakwa di mahkamah sejak bulan lalu, selepas Wan Saiful dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad.

Pada 21 Februari lalu, Wan Saiful didakwa atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu.

Pada hari sama, Adam Radlan dituduh atas dua pertuduhan termasuk menerima rasuah RM500,000 membabitkan projek Jana Wibawa.