Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

'Bayaran untuk ambil amah Indonesia boleh turun sehingga RM8,000'

Kos untuk mengambil pembantu rumah warga Indonesia boleh turun serendah RM8,000 seorang, bergantung kepada perundingan antara agensi pengambilan pekerja dari kedua-dua negara, kata Duta Besar Indonesia ke Malaysia Hermono

"RM15,000 adalah bayaran maksimum yang boleh dikenakan oleh agensi kepada majikan tetapi jika mereka boleh merundingkan harga lebih baik dengan agensi di Indonesia, kami tidak akan campur tangan, selagi mereka mengikut saluran undang-undang," katanya kepada Malaysiakini.

Indonesia telah bersetuju untuk membincangkan semula langkah mengehadkan bayaran kepada RM15,000, seperti yang dicadangkan Menteri Sumber Manusia V Sivakumar semasa sesi dialog baru-baru ini dengan Menteri Ketenagakerjaan Indonesia Ida Fauziyah.

Hermono bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada bayaran maksimum akan digugurkan atau tidak tetapi dia memberi jaminan bahawa pemerintah Indonesia akan mengkaji kemungkinannya.

Hermono

Perkara itu dibangkitkan sekali lagi dalam bulan lalu, dalam mesyuarat Kumpulan Kerjasama (JWG) antara wakil dua negara, yang berlangsung dua hari pada bulan lalu.

Peruntukan yang menyelia peranan dan fungsi JWG dimasukkan dalam Memorandum Persefahaman (MOU) untuk Pengambilan dan Perlindungan Pekerja Domestik Indonesia di Malaysia, yang dimeterai kedua-dua negara pada 1 April 2022.

JWG bermesyuarat secara berkala berkenaan masalah pelaksanaan dan membincangkan sebarang pindaan dalam MOU.

Agensi Malaysia digesa runding kadar yang lebih baik

Jika Indonesia dapat menyemak semula bayaran maksimum RM15,000, pindaan akan dibuat dalam MOU tersebut.

"Kedua-dua pihak telah bersetuju untuk berbincang dengan agensi di negara masing-masing dan membawa hasil perbincangan ke mesyuarat JWG akan datang," kata Hermono.

Bagaimanapun, dia menasihatkan majikan supaya merundingkan kadar yang lebih baik dengan agensi.

"Jika majikan Malaysia menganggap kos mengambil pekerja domestik Indonesia terlalu tinggi, mereka boleh mencari negara sumber lain yang menawarkan bayaran lebih rendah.

"Kami berharap apabila permintaan terhadap pekerja domestik Indonesia menurun, bayaran juga akan turun," kata Hermono lagi.

Namun, realitinya, permintaan terhadap pekerja domestik Indonesia kemungkinan besar tidak akan menurun.

Malah pada Januari lalu, apabila sempadan Malaysia masih ditutup untuk pekerja asing baru, bayaran pengambilan pekerja domestik melonjak sehingga RM25,000.

Kekeliruan juga tercetus apabila Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Khairul Dzaimee Daud menyatakan majikan hanya perlu membayar sebanyak RM1,136 untuk mengambil pembantu rumah warga asing dari mana-mana negara.

Menilai kos ini, Khairul berkata ia meliputi caj untuk levi, visa mengikut negara sumber, yuran pemprosesan, bayaran pas pekerjaan, penjamin dan beberapa bayaran lain.

Bagaimanapun Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa) menyanggah anggaran itu dengan mengambil kira kos lain yang tidak diambil kira termasuk tiket penerbangan dan dokumen perjalanan

Hanya sebulan sebelum MOU ditandatangani yang mengehadkan yuran pengambilan kepada RM15,000, timbalan menteri sumber manusia ketika itu Awang Hashim pada sidang Parlimen berkata kos maksimum ialah RM7,800.

Tanpa menyatakan sebarang butiran mengenai kos pengambilan, Awang berkata hanya RM6,000 perlu dibayar oleh majikan di Malaysia, manakala RM1,800 lagi akan ditanggung oleh pihak Indonesia.

Malaysia berhasrat untuk menurunkan bayaran pengambilan pekerja dan sedang dalam proses rundingan dengan pihak di Indonesia. Namun tiada had bayaran pengambilan untuk pekerja dari negara lain.

Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sumber Manusia Zarina Ismail berkata kos pengambilan pekerja domestik Filipina adalah antara RM15,000 dan RM16,500 seorang.

"Tiada had bayaran kerana mereka ada proses pengambilan yang sangat ketat, yang mana ejen haram di Malaysia pun tidak boleh memanipulasinya," kata Zarina.