Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PN tak berminat jadi pembangkang berkesan, kata MP PKR

Perikatan Nasional (PN) tidak berminat untuk melaksanakan peranannya sebagai pembangkang yang berkesan, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung.

Justeru, kata ahli parlimen PKR itu, tiada asas bagi kenyataan bekas ketua penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan mengenai kerajaan semasa yang mendesak mereka untuk memecahkan mekanisme semak dan imbang.

Lee mengulas kenyataan Wan Saiful semalam yang menyifatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai seorang pemimpin yang pendendam yang memerintah dengan kuku besi.

“Jelas kenyataan bahawa sasaran utama kerajaan kini adalah untuk melumpuhkan PN agar tiada semak dan imbang juga tidak tepat sama sekali.

"Ini adalah kerana pelbagai usaha seperti memperkasakan Dewan Rakyat, mengharamkan tender terbuka, rancangan membentangkan Akta Perolehan Kerajaan, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dan Akta Pendaaan Politik adalah bertujuan untuk memberikan semak dan imbang kepada kerajaan.

"Jangan sesekali menggunakan nama semak dan imbang untuk menutup kes yang bakal dibicara di mahkamah semasa mereka menjadi kerajaan dulu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Lee, ahli parlimen PN juga nampaknya tidak berminat untuk menjadi pembangkang yang membina.

Menurutnya, ahli parlimen PN sentiasa mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dan kemudian memohon maaf di Dewan Rakyat, selain kehadiran mereka adalah rendah walaupun perdana menteri berada di Dewan Rakyat untuk menjawab soalan ahli parlimen.

Wan Saiful Wan Jan

Tambahnya, PN juga gagal membentangkan belanjawan alternatif untuk menunjukkan bahawa mereka adalah blok yang mampu menawarkan dasar alternatif kepada rakyat.

"Maka kenyataan Wan Saiful bahawa akan hilangnya semak dan imbang juga mengarut, kerana PN selama ini tidak memainkan peranan sebagai pembangkang yang membina dan efektif pun.

"Memandangkan Wan Saiful telah meletakkan jawatan sebagai ketua Penerangan Bersatu, saya berharap agar ketua Penerangan Bersatu yang baru jangan menyalahgunakan nama pembangkang lagi untuk membela diri sekiranya terdapat apa-apa kes rasuah ataupun penyelewengan,” kata Lee.

Lee juga berkata serangan peribadi Wan Saiful terhadap Anwar adalah tidak berasas dan hanya bertujuan untuk meraih simpati selepas beberapa pemimpin Bersatu, termasuk presiden parti itu Muhyiddin Yassin, didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah baru-baru ini.

"Kenyataan Wan Saiful yang menyifatkan Anwar sebagai seorang pendendam tua yang opportunis dan kuku besi adalah jauh sekali daripada kenyataan.

"Saya menyanggah serangan Wan Saiful tersebut yang tidak berasas, bersifat peribadi, dan hanya untuk meraih simpati.

"Saya pelik kenyataan yang sama tidak digunakan kepada bekas ‘bos’ beliau iaitu Dr Mahathir Muhamad yang jauh lebih tua, lebih oportunis dan lebih kuku besi, sebaliknya ayat-ayat emosi ini dilontarkan kepada Anwar hanya selepas beliau didakwa dengan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta tahun lalu," katanya.

Wan Saiful semalam berkata, pendakwaan terhadap beberapa pemimpin PN menunjukkan Anwar bukanlah seorang reformis tetapi seorang pemimpin yang pendendam yang mentadbir dengan kuku besi.

Dua juga mendakwa bahawa keutamaan utama kerajaan sekarang adalah untuk mengganggu PN supaya tidak berlaku semak dan imbang dalam negara.

Kenyataan Wan Saiful itu dibuat selepas Pengerusi Bersatu Muhyiddin Yassin dipanggil oleh SPRM dan disoal siasat selama sembilan jam semalam.

Muhyiddin didakwa di mahkamah hari ini atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM232.5 juta.

Wan Saiful sendiri didakwa pada 21 Februari lalu atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta tahun lepas.

Pemimpin PN secara konsisten menyifatkan siri pertuduhan berkenaan sebagai penganiayaan politik.