Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Muhyiddin tiba di mahkamah, penyokong berkumpul

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin tiba di Mahkamah Kuala Lumpur untuk didakwa berhubung projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) dan isu berkaitan kira-kira jam 8.40 pagi.

Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) tiba dengan menaiki sebuah kereta jenis Toyota Velfire berwarna hitam diiringi tiga buah kereta lain sebelum dikerumuni penyokong dan pemberita.

Bagaimanapun Muhyiddin tidak turun untuk berjumpa penyokong yang berada di luar pekarangan mahkamah, sebaliknya hanya melambaikan tangan.

Sementara itu, sekumpulan penyokong Muhyiddin mula berkumpul di hadapan bangunan Mahkamah Kuala Lumpur sejak pukul 8 pagi tadi bagi memberi sokongan kepada pengerusi PN itu.

Muhyiddin yang juga presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka didakwa berhubung projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) dan isu berkaitan.

Muhyiddin bakal didakwa atas pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Turut kelihatan Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris, Ketua dan timbalan Sri Kandi Mas Ermieyati Samsudin, bekas timbalan Speaker Dewan Rakyat Rashid Hasnon, dan Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir.

Kebanyakan penyokong yang hadir memakai baju putih tertera gambar Muhyiddin sebagai tanda solidariti kepada ahli parlimen Pagoh itu.

Mereka juga turut membawa kain rentang tertulis “kezaliman politik harus dihentikan”, “kerajaan gagal”, dan “rakyat bersama Abah”.

Ketika ini, keadaan agak terkawal dan beberapa anggota polis dilihat membantu mengawal aliran trafik dan penyokong Muhyiddin yang hadir.

Pada masa sama, lebih 50 pengamal media turut hadir membuat liputan di hadapan bangunan SPRM itu.

Semalam, Muhyiddin disiasat lebih sembilan jam di ibu pejabat SPRM Putrajaya. Muhyiddin kemudiannya dibebaskan dengan jaminan SPRM kira-kira 8.20 malam.