Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sidang parlimen hampir dipendekkan kerana tak cukup kuorum

Sidang Dewan Rakyat hari ini hampir dipendekken kerana tidak memenuhi kuorum 26 ahli parlimen sekitar jam 2 petang.

Menjelang penghujung ucapan penggulungan Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi Ewon Benedick, Ahmad Marzuk Shaary (Perikatan Nasional-Pengkalan Chepa) berdiri dan menggesa agar kuorum diperiksa mengikut Peraturan Mesyuarat.

Ini menimbulkan kemarahan Teresa Kok (Pakatan Harapan-Seputeh) yang membidas kekurangan kehadiran ahli parlimen pembangkang di Parlimen hari ini.

“Timbalan speaker, yang panggil semakan korum, geng dia semua tak ada, ustaz semua pergi mana?” soal Kok.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Ramli Mohd Nor berkata semakan korum adalah mengikut Peraturan Mesyuarat dan mesti dipatuhi.

Selepas kiraan pantas, Ramli memaklumkan kepada Dewan bahawa hanya terdapat 25 ahli parlimen di dalam Dewan Rakyat - kurang satu daripada kuorum yang diperlukan, iaitu 26 ahli parlimen.

Jika kuorum tidak dipenuhi, prosedur yang sepatutnya adalah bagi speaker atau timbalan speaker yang mempengerusikan sidang untuk membunyikan loceng selama dua minit untuk memberi masa kepada ahli parlimen untuk memasuki Dewan.

Sekiranya masih tidak cukup untuk mengisi korum pada akhir dua minit, persidangan terpaksa ditangguhkan untuk hari tersebut.

Ketika Ramli hendak membunyikan loceng, Kok menyindir sekali lagi, "Mereka ini, mereka hanya mahu nama mereka masuk ke dalam berita".

Bagaimanapun, jumlah ahli parlimen memasuki Dewan mencukupi untuk mengisi korum yang menyebabkan Ramli tidak perlu membunyikan loceng.

Dilaporkan pagi ini bahawa sejumlah besar ahli parlimen PN tidak hadir di Dewan Rakyat.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin mempersoalkan sama ada ahli parlimen PN pergi ke ibu pejabat SPRM untuk menunjukkan solidariti kepada Pengerusi PN Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin dipanggil untuk disoal siasat oleh SPRM pada pukul 11 pagi hari ini, dengan sumber SPRM berkata ahli parlimen Pagoh itu akan menghadapi pelbagai pertuduhan jenayah di mahkamah esok.

Kira-kira 100 penyokong Muhyiddin, kebanyakannya berpakaian kemeja-T putih yang memaparkan imej presiden Bersatu itu, berkumpul di luar ibu pejabat SPRM seawal jam 9 pagi tadi.